Monday 13 May 2013

Cinta yang teruji, kasih yang menguji..





     “Dik, kakak awak accident”, kata-kata itu menggegar gegendang telinga Syamila. Menggoncang  jantung ibarat mahu berhenti. Terus laju tangannya mencapai handphone di hadapan. Satu missed called dari si kakak. “Subhanallah,” hanya itu mampu terucap dari mulutnya. Nombor kakak kini didail lagi. Tiada jawapan. Syamila tidak berhenti disitu. Terus ditekan punat telefon. Berjalan mundar-mandir dengan harapan panggilan dijawab. Air mata turut mengalir deras. Saat jiwa sudah tidak tenteram kerisauan, air yang jarang muncul kini mudah menjamah pipi.

      Panggilan masih tidak dijawab. Walau sahabat kakak mengatakan tidak teruk yang menimpa kakak, namun itu belum mampu menenangkan hati. Selagi tidak ada di hadapan mata, selagi tidak mendengar suara, selagi itu dia belum mampu mencerna segala berita. Meski ditenangkan sahabat-sahabat, gelora di jiwa masih belum reda. Kerisauan yang tinggi menolak segala ketenangan diri.
Berita kakaknya hanya luka-luka sedikit menurunkan keresahan di hati. Solat maghrib ditunai sementara menunggu si kakak kembali. Saat sujud dalam rakaat terakhir, diluah segala doa buat kakak didalam hati. Moga dimakbulkan oleh Ilahi. Tika usai solat, al-quran terus dicapai buat mengubat kegelisahan jiwa yang tak henti. Tika itu juga memori bersama si kakak mula bertebaran di dalam minda dan hati.

     Pertemuan itu sudah dirancang oleh sang Pencipta. Bukan kebetulan mereka menjadi kakak dan adik. Bukan tidak sengaja nama Syamila dipilih oleh si kakak, tapi atas perancangan si Dia yang lebih mengetahui. Hubungan yang dibina atas nama Ilahi akan dijaga sebaik mungkin. Dalam menjalani hubungan yang ingin mencapai redha Ilahi, pastinya bukan mudah, juga tidak susah. Diuji pelbagai perkara itu biasa. Hati terluka, jiwa kecewa, perasaan memendam rasa. Tapi demi menjaga keberkatan hubungan yang suci, segala rasa ditolak tepi.

    Syamila sedar, dalam perhubungannya bersama kakak, ada sahaja yang memerhati. Ada yang mula menghakimi tanpa mahu memahami. Mereka bukan iri hati, cuma belum pernah merasa sendiri betapa manis ukhuwah atas nama Ilahi. Ada yang berpendapat, Syamila terlalu menjaga si kakak, ada yang lain berpendapat Syamila dikongkong si kakak. Namun, niat sebenar di hati masing-masing tidak ada yang mahu peduli. Hanya Syamila dan kakak yang lebih mengetahui.

     Dalam perhubungan ini, pernah ditanya kepada Syamila adakah akan wujud sedikit cemburu di hati Syamila andai ada yang lain mula merapati si kakak. “Tidak akan pernah”.. Itu jawapan dari hati. “Kakak itu bukan milik saya seorang. Allah hadirkan dia buat menyedarkan saya, buat berkongsi ilmu dengan saya, buat menjadikan saya ujian buatnya dan dia ujian juga buat saya. Bersama dia saya mendapat sesuatu, bersama saya dia belajar sesuatu. Dia milik Allah, bukan hanya milik saya selamanya”, ujar Syamila. Kerisauan atas kemalangan si kakak bukan dirasa Syamila sahaja. Tapi juga beserta doa dari adik-adik yang lain serta sahabat-sahabat tercinta.

    Seorang kakak selalu berpesan “Umat Islam itu pasti kuat dengan adanya dua benda dalam diri, iman yang mantap serta ukhuwah yang sejati”.. Seorang kakak lagi juga berpesan, memberi jangan pernah berharap mahu menerima.. Menyayang jangan pernah berharap untuk disayang. Memang mudah untuk menutur tapi susah untuk dilaksana. Tapi tak salah untuk berusaha mencuba.

“Orang yang paling susah untuk menyayang adalah orang yang paling disayang”...

Meski mudah kita mendapat kasih sayang dari seseorang, sering dijaga, sebaiknya, namun hati tetap terluka. Tetap ada ujian bagi setiap manusia. Mungkin pernah terluncur keluar dari mulut mengata “aku sudah bahagia bersama kamu”, namun setiap kata-kata itu pasti diuji. Janji ukhuwah yang katanya demi Ilahi itu mula teruji.

“Cinta itu pasti diuji kerana itu sudah tradisi janji”..



Mungkin akan ada lagi ujian yang bakal hadir buat kita, namun akan digagahi melaluinya bersama.

p/s: Ini bukan cerita kamu dan dia, juga bukan cerita aku dan kamu. Ini kisah kita semua yang sedang membina ukhuwah tembusi syurga.



Buat kakak-kakak yang suatu masa akan meninggalkan kami semua, tiada kata-kata yang mampu diucap buat anda. Apa yang sudah kalian kongsikan kepada kami terlalu berharga buat jiwa. Segala rasa bersama anda menjadi liku-liku pengalaman menuju dewasa. Tika ini hanya doa yang mampu dilafaz moga kami semua turut terpilih menjadi sebahagian dari anda-anda. Betapa hati-hati kami meruntun mahu turut serta, namun andai kata Allah belum mengizinkan, doakan kami moga akan terus berusaha...

Kisah kita takkan pernah terpadam atas alasan tamatnya pembelajaran. Kalian akan terus bergelar kakak-kakak kami  yang akan selalu menegur andai ada kesilapan dalam diri.

Maaf yang ditaip dengan tangan tapi datang dari dalam hati yang betul-betul mahu mengucapkan  melalui mulut yang masih terkunci. Maaf atas segala kebiadapan, maaf atas segala kepenatan, maaf atas segala rasa yang ditanggung sendiri, maaf atas masa yang tak dapat dibayar lagi. Moga impian kalian dan kami mahu mati dalam jihad di jalan Allah dimakbulkan...

No comments:

Post a Comment

Sahabiah: