Thursday 7 August 2014

Kerikil tak berdosa.

Beberapa biji kerikil dikutip. Lantas dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Ayyash berlari laju menuju ke arah beberapa orang tentera rejim Zionis yang sedang berkawal. Setibanya disitu, Ayyash berhenti. Lalu tangannya dimasukkan ke dalam kocek bagi mengeluarkan kerikil kerikil yang dikutip. Belum sempat kerikil dikeluarkan,  keempat empat tentera Zionis tersebut telah menghalakan senjata masing masing ke arah Ayyash. Mereka ternanti apa yang akan dikeluarkan oleh Ayyash.

Ayyash tunduk. Bukan bermaksud gentar.  Tapi dek kerana amarah yang teramat sangat. Dan tanpa teragak, Ayyash terus membaling kerikil kerikil yang dikutip ke arah tentera tentera Zionis tersebut.  Kerikil kerikil itu mengenai tubuh badan tentera Zionis yang dibalut uniform tebal bersama baju kalis peluru.

"Hey budak! Balik lah! Pergi bersembunyi. Jangan sampai kau mati di tangan kami!" Teriak tentera Zionis kepada Ayyash.

Teriakan dibalas dengan teriakan.
"Hey kamu yang pergi balik!  Ini tanah kami! Kamu yang sedang bersembunyi.  Bersembunyi di sebalik bayang bayang negara kami! Kamu memanggil kami pengganas sedang kalian yang sedang mengganas! " Lantang suara Ayyash menuturkan kata kata amarahnya. Meski dia kecil ibarat kerikil namun keberanian Ayyash ibarat harimau yang mahu menerkam mangsanya.

Tentera Zionis meneruskan tugas mereka. Walaupun kerikil yang dibaling Ayyash langsung tidak mencederakan tubuh mereka namun kerikil kecil itu telah berjaya menggores hati mereka. Sungguh,  tentera Zionis itu gentar atas keberanian anak anak kecil di Palestin.  Maka kerana itulah tugas mereka untuk menghapuskan wanita wanita serta kanak kanak Palestin agar tiada lagi sosok sosok berani di bumi Palestin.

27 Ramadhan. Ayyash bersama keluarganya bersiap mahu berbuka puasa bersama. Hari ini Ayyash merasa sesuatu. Rasa seolah hari gembiranya. Seperti mahu mendapat sesuatu yang berharga.

"Ayah, mungkinkah hari ini hari kemenangan kita? Kerana aku merasa sungguh senang seperti bakal memperoleh sesuatu." Tanya Ayyash kepada ayahnya.

"Janji Allah itu pasti anakku. Kita pasti menang. Tak mustahil ini masanya. Sama sama kita berdoa ya. Agar yang ada hanya menang atau syahid. Semua sudah ambil wudhu'? " jawab ayah Ayyash yang bernama Ahmad Yassin. Dia sering mengingatkan keluarganya agar sentiasa berwudhu' kerana mereka tidak tahu bila ajal mereka tiba. Dia mahu agar saat nyawa mereka ditarik, mereka menemui Tuhan dalam keadaan berwudhu'.

Azan Maghrib berkumandang. Menandakan sudah tiba masa untuk berbuka. Saat masing masing mahu menyuap makanan, tiba tiba terdengar bunyi bising dari bahagian atas rumah Ayyash. Bunyi letupan lantas meletupkan keluarga Ayyash yang sedang berbuka. Seluruh bangunan runtuh serta mengorbankan kesemua ahli keluarga Ayyash. Ya, Ayyash sudah memperoleh sesuatu.  Dia sudah memperoleh syahid!

-- Akhbar diselak. Berita tentang sekeluarga  yang syahid di Palestine. Syahid ketika mahu berbuka puasa. Allah. Aku sebak.

Akhbar diselak lagi. Berita tentang jutawan di usia muda. Kanak kanak menjadi jutawan hasil pendapatan lakonan dan nyanyian.  Allah. Aku sebak lagi.

Saat kanak kanak di Palestin memperoleh syahid, kanak kanak di Malaysia sedang disogok dengan wang ringgit.  Sudah ditatih dari kecil, apa itu lakonan, apa itu nyanyian. Beza sungguh keadaannya.  Allah... Sememangnya kerikil tidak berdosa.  Keadaan dunia yang menjadikan kita berbeza.

Saat penduduk Palestin menempa syahid, penduduk Malaysia masih dimomok dengan masalah pemimpin pemimpin.  Masih dikaburkan dengan pesta pesta maksiat. Berbeda amat kita diuji. Dan lantas, kami masih belum kuat.

--Kisah ini ditulis oleh seorang Malaysia yang langsung tidak pernah memijakkan kaki ke Palestin.  Mungkin yang ditulis ini langsung tidak setragis kisah sebenar di Palestin.  Maaf. Aku tak mampu bayang lebih, kerana aku bukan mereka. Aku bukan Palestin yang kuat. Aku cuma Malaysia,  yang masih perlu dikuatkan. 

Sahabiah: