Dia sudah tidak punya rasa lagi. Rasa yang dulunya terlekat di sanubari kini telah hilang. Hilangnya rasa itu ibarat dihembus oleh angin..Hilang tanpa disedari..
Sakinah mengeluh halus. Saat itu dia perlu bersendirian bagi menenangkan jiwa. Sakinah mulai ragu-ragu dengan keputusan yang diambil dulu. Amanah yang diterima dengan terbuka suatu masa dahulu kini mulai mengujinya. Jiwa mula merasa berat mahu memikul amanah itu lagi. Fikirannya kacau. Perlukah dia melepaskan amanah yang diberikan demi menjaga hati dari terluka lagi..
Sakinah mula membandingkan kehidupannya sebelum dan selepas dia menerima amanah tersebut. Mungkin sebelum amanah diterima hatinya sedikit terjaga. Tidak diuji sebegini rupa. Namun selepas Sakinah bersetuju menerima amanah, dia mula diuji sedikit demi sedikit. Prinsipnya mula tercabar, dirinya yang dulu kononnya kuat mula lemah. Air mata yang dulunya mampu ditahan kini mudah mengalir laju.. Hati yang dulunya kuat bertahan kini mudah terguris.. Kaki yang dulunya kuat berdiri kini mula mahu terjatuh.
Dulu, walau macam mana ujian Allah, diterima dengan redha. Kini dia sudah mula merungut. Dia sudah mula bertanya kepada Ilahi, kenapa dia yang diuji sebegini? Sakinah mula alpa dengan amal ibadat yang perlu diberi perhatian penuh. Sakinah lebih banyak melayan perasaan yang melankolik. Lebih banyak mengasihani diri sendiri yang kononnya terlalu diuji.
Sakinah sedar masalah yang ditanggung cuma sedikit. Rasa pedih yang terasa cuma secubit. Tapi dia terlalu melayan perasaan itu. Perasaan itu mula melemahkan Sakinah. Dia menjadi lebih mudah terusik dengan setiap kata-kata. Dia mula merasa sentiasa sendiri tanpa ada sesiapa disisi. Dia mula lupa kehadiran Ilahi.
Pernah suatu ketika terlintas di benak fikiran Sakinah mahu lari dari semua ini. Mahu pergi jauh dari mereka yang sering memerhati. Mahu hilang dari segala rasa yang mendera hati. Mahu meninggalkan sahaja amanah yang diberi.
Sakinah mula menyalahkan diri. Rasa tenang yang dulunya datang kini mula hilang. Semuanya disebabkan amanah yang dia sendiri menerima. Amanah yang dulunya dia kata akan berusaha sehabis baik. Amanah yang dulunya dia istikharah sebelum menerima.
Sakinah sebenarnya cuma terlepas pandang akan cara dia untuk menyelasaikan masalah. Kadangkala penyelesaian kepada masalah itu tidak penting tapi cara untuk menyelesaikan masalah itu yang penting. Sakinah terlalu melayan perasaan sehingga terlupa kepada sang Pencipta.
Suatu malam Sakinah mula bermuhasabah diri. Tidur berseorangan membolehkan dia membetulkan diri. Ditenung satu persatu permasalahan diri. Difikir cara untuk menyedapkan hati.
Allah maha Besar. Dia yang menghadirkan segala penyelesaian dalam diri. Sakinah mula tersentak. Disesali segala perbuatan diri. Malam itu diisi dengan qiam. Solat sunat taubat ibarat pengubat. Tahajjud ibarat penguat. Sagala doa diminta dalam solat sunat hajat. Witir sebagai penutup sepertiga malam...
Sakinah tersenyum. Betapa dia terlalu melayan perasaan. Betapa dia hampir terjatuh ke lembah syaitan. Lafaz Alhamdulillah meniti di bibir Sakinah. sungguh dia bersyukur, Allah masih sayangkan dia. Allah masih berikan Sakinah satu rasa yang dulunya hilang. Sakinah kini temui jalan bagi menyelesaikan masalah hati yang dialami.
Solat itu merehatkan. Al-quran itu mendamaikan. Zikir itu menenangkan. Kini biar dia ditinggal berseorangan, biar dia perlu menghadapi tuduhan, biar dia tak diperhatikan.. Dia tidak mudah lemah. Dia yakin, pasti dan percaya Allah itu sentiasa bersama, Allah itu sentiasa menerima, Allah itu takkan pernah mencerca.
Sakinah pernah terjatuh, pernah tersungkur dan pernah merasa putus asa untuk bangun semula. Namun kini dia sudah temui rasa yang dulunya tiada. Rasa yang hilang dulu diganti dengan rasa yang berbeza tetapi pastinya lebih sempurna. Rasa yang dihadirkan oleh Allah dalam diri.
Takmustahil suatu masa Sakinah terpaksa mengharungi lagi kisah yang sama. Tetapi dengan hadirnya rasa ini dalam jiwa, Sakinah yakin dia mampu melaluinya..
Moga rasa ini takkan pernah hilang lagi.....
No comments:
Post a Comment