Sunday, 28 July 2013

tiada tajuk 5.

Pintu bilik dihempas. Kuat. Syarhah mendengus. Dia seperti mahu menjerit sekuat hati. Masih terngiang-ngiang ayat sindiran ibu dan kakak tadi. Allah... Andai Syarhah lemah, pasti sudah dia membalas kata-kata mereka tadi.

   " Ye la.. Saya dah berubah kan? Konon.. Pakai tudung labuh sampai kaki, tapi perangai sama je.. " ayat yang keluar dari mulut kakak ibarat batu menghempap hati. Allah.. Sakit.. Ditambah ketawa mengekek dari ibu, membuat hati Syarhah betul-betul terasa. Kali ini sudah masuk berpuluh kali dia disindir di rumah. Mindanya mula mendesak, " Salahkah perubahan yang aku lakukan? Salahkah aku mahu berubah? Salahkah jalan ini yang aku pilih?" Syarhah bermonolog sendiri.

    Salahnya cuma sedikit. Memang wajar dia ditegur. Tetapi Syarhah pantang apabila perubahannya itu dipermainkan. Jujur, Syarhah sendiri merasa dia tidak layak menyarung tudung labuh litup itu ke atas kepalanya kerana dia sedar dia belum cukup layak. Sikapnya yang belum mampu diubah sepenuhnya membuatkan Syarhah malu untuk memakai tudung labuh sebegitu. Tetapi kata-kata seorang kakak di kolej menyedarkan Syarhah. " Manusia ni, buat benda baik malu, buat benda jahat tak malu pulak kan.." Kata-kata yang disertai senyuman ikhlas dari si kakak menyedarkan Syarhah dari lamunan. Terus dia yakin untuk mengiut keinginannya selama ini untuk bertudung labuh litup meski sikapnya belum cukup baik. Belum cukup sempurna. Kerana Syarhah yakin manusia itu sentiasa dalam proses pembaikan diri ke arah lebih baik. Jika mahu ditunggu dirinya betul-betul baik dan betul-betul layak baru mahu menyarung tudung labuh itu, sampai bila? Entah-entah sampai khiamatlah dia menyimpan hasrat mahu memakai tudung labuh itu.

    Saat pulang ke rumah untuk cuti semester Syarhah memberanikan diri memakai tudung labuh saat bertemu keluarga. Sebelum ini dia hanya berani memakai tudung labuh seperti itu hanya di kolej. Tidak di hadapan keluarganya. Dalam hatinya dia berdoa moga perubahan ini direstui keluarga. Sudah perancangan Allah, hari dia pulang ke rumah itu, keluarganya mahu berbuka puasa di kampung. Syarhah tidak ada peluang untuk menukar tudung labuh itu. Dia terima andai disindir oleh nenek mahu ibu saudaranya di kampung atas perubahan dirinya itu. Perancangan Allah itu tidak ada siapa boleh mengagak. Satu lagi kebetulan, selepas berbuka puasa diberitakan seorang sepupunya masuk ke hospital jadi mereka sekeluarga bergega ke hospital. Sekali lagi Syarhah berjumpa dengan saudara-maranya yang agak ramai di hospital dalam keadaan perubahan dirinya yang baru. Ya, bukan mudah mahu berhadapan dengan mereka. Pandangan-pandangan saudara-mara yang dilontarkan kepadanya sukar untuk Syarhah tafsirkan. Dia hanya serahkan sagalanya kepada Allah. Moga Allah permudahkan segala urusannya.

    Dilahirkan dalam keluarga yang agak berada bukan satu pnghalang untuk Syarhah berubah. Keluarganya juga bukanlah keluarga yang langsung menolak Islam. Keluarganya tetap menitik beratkan tentang agama Islam. Solat lima waktu, baca al-quran, puasa. Cukup. Cuma masih ada kelompangan dalam penghayatan. Tetap ada yang kurang. Belum cukup semangat untuk memahami Islam sepenuhnya. Itu yang kurang. Syarhah bernasib baik Allah permudahkan jalannya. Dia mula berubah saat ilmu Allah mula menapak dalam diri. Daripada jahil, dia memperbaiki diri. Tetapi semuanya dilakukan secara perlahan-lahan. Sehingga saat ini, dia belum cukup baik. Masih ada perangai lama yang belum mampu dihilangkan. Itulah yang dipergunakan manusia sekeliling sebagai sindiran kepada Syarhah. Dan Syarhah pula, paling tidak suka andai pemakaiannya itu dihina atas sebab sikapnya yang belum cukup berubah. Dia takut andai perkara itu membawa fitnah kepada Islam.

   Syarhah sedar, dengan imejnya yang baru, dia perlu menghijrahkan dirinya, sikapnya, segala kemahuannya. Namun, perkara itu bukan mudah. Dia cuma perlu masa. Dan dia berharap keluarganya faham. Tapi sayang, mereka belum cukup dan mahu faham keadaan Syarhah.

    Sindiran kakak tadi benar-benar membuatkan Syarhah mahu hentikan perubahannya. Dia terasa seperti mahu kembali seperti dulu. Syarhah mula membandingkan kehidupannya sebelum dan selepas dia berubah. Dulu, hidupnya seperti lancar. Segalanya baik sahaja. Tiada siapa yang mahu menegur apa yang dipakainya. Malah pergaulannya juga tiada siapa yang mahu kawal. Sekarang berbeza. Pemakaiannya ramai saja yang mahu kritik. Dari rakan sekelas sehinggalah ke ahli keluarga. pergaulannya juga lebih terbatas sejak dia mengetahui ikhtilat antara lelaki dan wanita. Perlukah dia kembali seperti dulu? Perlukan dia lupakan segala rasa mahu berubah? Perlukah dia berhenti memperbaiki diri?

   Semestinya TIDAKKK!!! Kata-kata itu terus muncul dalam fikiran Syarhah saat otaknya serabut memikirkan permasalahan ini. Syarhah seperti diberi satu ketenangan seketika. Dia tersenyum sendri. "Baru satu masalah kecil Allah berikan, aku dah kalut macam ni.. Macam mana nak handle masalah lagi besar? Allah.. Kata nak tegakkan Islam, tapi masalah macam ni pun dah nak pecah kepala.. Syarhah, rasional, Allah kan ada.. " kali ini Syarhah bermonolog lagi.. Allah.. Syarhah tersenyum tak henti. Tiba-tiba fikirannya yang kusut menjadi tenang. Tiba-tiba hatinya yang sakit menjadi sembuh.
 
   Syarhah sedar, andai perubahan dilakukan kerana Allah mengapa mesti dia memikirkan kata-kata manusia? Andai perubahan kerana Allah, mengapa harus dia berputus asa dengan mudah? Allah.. Syarhah perlu terus kuat. Dia tidak bisa tumbang dengan masalah sekecil ini. Biar orang sekeliling tidak faham dia, asal Allah ada untuk menemani. Biar orang sekeliling terus menyindir dia, dia tak lemah andai Allah sentiasa menguatkan. "Aku harus kuat! Mesti terus istiqamah!" ucapnya tulus dari hati. Andai mahu Syurga mana mungkin hidup tak diduga. Andai mahu Syurga, mana mungkin hidup mahu senang sahaja.

   Biar disindir, biar dikata. Syarhah tidak betah mahu melayan. Syarhah mahu senyap sahaja. Kerana dia yakin, proses pembelajaran itu takkan tamat sehingga ke akhir usia, hingga ke akhir hayat. Dia mahu terus memperbaiki diri. Tidak mahu disindir lagi. Dia mahu melakukannya kerana Allah. Bukan kerana manusia.


p/s: pendek. sekadar rekaan.

   

No comments:

Post a Comment

Sahabiah: