Thursday, 19 December 2013

Sod Ba Ro




“ Kamu nak tahu? Tangisan anak saya semalam masih terngiang-ngiang dalam otak saya sampai sekarang. Allah.. Saya tak tahu kenapa saya marah anak saya semalam. Mungkin sebab penat tambah pulak dengan kerja yang tak pernah habis, saya lepaskan amarah kat anak saya. Menyesal saya.. Saya tak pukul dia, saya Cuma kibas kain pelikat saja. Tapi bunyi libasan kain tu cukup kuat sampai anak saya menangis, sampai emak saya yang masa tu ada di tingkat atas pun dengar dan terkejut. Tak pernah lagi saya marah macam semalam. Lepas anak saya tidur, mak saya panggil. Dia cakap, kenapa Dil buat anak macam tu? Ayah Dil dulu tak pernah buat Dil macam tu kan?? Saya menyesal jugak.. Kenapalah saya tak boleh sabar masa tu? “ …
Kisah yang diceritakan Dr. Fadzil tamat disitu. Memang sudah lumrah, setiap kali masuk kelas, Dr. Fadzil akan mulakan dengan sedikit tazkirah pendek. Dan kebanyakkan tazkirah itu akan diselang-selikan dengan kisah keluarga Dr. Fadzil. Sungguh, aku suka mendengar kisah keluarga Dr. Fadzil. Setiap kata darinya punya seribu pengajaran bagi mereka yang mahukan pengisian. Mungkin bagi yang lain itu Cuma satu kisah biasa yang berlaku dalam setiap kehidupan insan bernama keluarga. Tapi tidak bagi aku. Kerana setiap patah kata, setiap satu cerita dari Dr. Fadzil punya makna yang mahu disampaikan kepada setiap jiwa-jiwa. Dan niatnya Cuma satu, mahu yang lain mengambil ibrah dari apa yang berlaku.

Siapa Dr. Fadzil? Maaf, dia bukan graduan universiti luar negara mahupun tokoh  negara. Dia Cuma graduan IPTA biasa, tetapi menjadi insan luar biasa. Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana dan agak susah, mengajar Dr. Fadzil untuk menjadi seorang yang luar biasa. Kerana dia tidak mampu untuk hidup seperti insan biasa yang lain. Mahu belajar jugak susah, apatah lagi mahu mengikut kemahuan yang lain? Ayat Dr. Fadzil yang selau diungkapkan ialah “ Saya bukan orang senang dahulu, menyebabkan saya lebih menghargai kesenangan saya pada hari ini”. Ayah ibu Dr. Fadzil juga hanya insan biasa yang berhasrat mahu menghasilkan insan-insan luar biasa melalui didikan orang biasa. Ayahnya Cuma pemandu teksi dan ibunya pula suri rumah. Tapi ada satu kelebihan ayah Dr. Fadzil, iaitu ayahnya mampu bertutur dalam banyak bahasa seperti Inggeris, Cina, Tamil, Arab dan Bangladesh. Itu kelebihan ayah Dr. Fadzil.

Untuk kelas yang terakhir, tazkirah Dr. Fadzil kali ini sedikit panjang. Dan kali ini dia mahu bercerita mengenai saat getir hidupnya. Kisah sedih yang dipendam seorang diri tanpa ada yang mengetahui kecuali si isteri.
“ Saya nak cerita kisah saya. Bagi saya cukup sedih, tak tahu lah bagi kamu macam mana. Dulu, lepas tamat belajr di politeknik, sebenarnya saya dapat satu tawaran untuk sambung pelajaran di luar Negara. Dan masa tu, taka da siapa yang tahu. Tiba-tiba saya dapat panggilan dari rumah. Katanya ayah saya terkena strok. Allah.. Cepat-cepat saya balik. Dah terlupa pasal tawaran tadi. Dalm seminggu saya jaga ayah saya, Alhamdulillah, dia makin ok. Tapi kesan strok tu masih ada lah. Satu hari, saya bawak mak saya pergi hospital tengok ayah saya. Bila sampai tu, tiba-tiba mulut mak saya jadi senget dan badan dia tak boleh bergerak. Saya tanya mak saya, mak kenapa mak? Mak saya jawab tak tahu. Rupa-rupanya, emak saya pun terkena serangan strok masa tu. Allah.. Di depan ayah saya yang belum sihat, emak saya pulak terkena strok. Dan masa tu, kedua mak ayah saya terkena serangan strok dan ditempatkan dalam satu hospital yang sama. Emak saya di tingkat bawah, dan ayah saya di tingkat atas. Dan jadi kerja saya untuk jaga mereka masa tu. Terpaksa lh berlari sekejap keatas, sekejap kebawah. Penat, memang penat. Tapi mak ayah saya lagi penat jaga saya. Dan yang penting, diorang tak pernah merungut sikit pun. Sampai satu tahap, saya rasa berat ujian yang Allah bagi kat saya masa tu. Saya menangis. Saya menangis kat tepi tangga sorang-sorang. Mak ayah, dalam hospital. Pada masa yang sama.. Allah.. itu ujian besar buat saya masa tu. “

“ Dan setiap pesakit strok akan ada melalui satu kesan akibat penyakit tersebut. Mak ayah saya pun tak terkecuali. Masa tu, ayah saya tiba-tiba menjadi seorang yang sangat pemarah, mak saya pulak menjadi seorang yang sangat penyedih. Semua tu satu kejutan buat saya. Sebab ayah saya sebelum ni seorang yang sangat sabar. Tak pernah dia marah-marah. Dan dia suka sangat sebut perkataan sabar. Sabar, sabar, sabar.  Kadang-kadang saya pun pelik dengan ayah saya, kenapalah dia asyik sebut sabar saja. Pernah, satu hari, masa tu saya budak-budak lagi. Kat kampung ada satu mensyuarat jawatankuasa kampung. Keadaan masa tu gentinglah bila semua orang tinggi suara, bergaduh dan tengking menengking. Tiba-tiba ayah saya bersuara, tapi dia Cuma cakap, Sabar.. Lepas tu ada seorang pak cik tu, tinggikan suara kat ayah saya dan cakap, “ Pak Cad ni sikit-sikit sabar, sikit-sikit sabar, baik pi sembunyi bawah kain gebar! “ (Kain gebar bermaksud kain selimut bagi orang utara) Kata-kata pak cik tu di sambut dengan ketawa oleh semua orang yang ada kat situ. Saya rasa malu sangat bila ayah saya diketawakan. Bila sampai rumah, saya pun tanya ayah saya, ayah ni asyik cakap sabar saja kenapa? Sampai semua orang ketawakan ayah. Ayah tak malukah? Kemudian ayah saya pun jawab. “ Dil, taw kenapa ayah asyik cakap sabar? Sebab hanya orang luar biasa yang mampu cakap benda tu masa semua orang lain tengah marah, tengah gaduh. Dil, biar kita orang biasa, tapi kelakuan kita tu yang luar biasa. Sabar. Allah pun dah cakap Dil, ‘Sesungguhnya Allah itu bersama dengan orang-orang yang sabar’.. Kenapa nak malu Dil? “ Allah.. lepas tu, langsung saya tak mempersoal lagi bila ayah cakap sabar. Sungguh, sod ba ro, tiga huruf, tapi bukan senang semua orang nak apply. “
“Ayah saya meninggal di hospital masa dia kena serangan strok tu. Dan mak saya, Alhamdulillah masih ada dengan saya sampai sekarang. Cuma dia sudah tak boleh berjalan. Saya janji dengan diri saya, nak jaga emak sebaiknya sebab bila saya dah tengok macam mana susah, isteri saya nak lahirkan anak saya, baru saya tahu macam mana susah emak saya nak lahirkan saya dulu. Allah.. macam mana kuat seorang ibu itu menahan kesakitan ketka melahirkan anak yang dikandung… Saya tak kisah terpaksa bersusah payah demi mak saya kerana dia dah banyak bersusah payah demi saya.. Pesanan saya dekat awak semua, tak kiralah setinggi mana awak terbang, sejauh mana awak berjalan, jangan pernah lupa untuk pulang ke gagang. Sebab, mak ayah sentiasa menunggu dan tertunggu-tunggu untuk anaknya pulang..”

Satu yang aku kagum dengan Dr. Fadzil, setiap kali di menyebut perkataan ‘emak’ matanya berkaca-kaca, air mata mula bertakung di mata. Allah.. 

2 comments:

  1. pengorbanan mak ayah, kasih sayang tak akan pernah habis utk anak2. dari kecil sampai skrg di universiti. kdg terasa diri ni seperti x mampu nak balas jasa mereka.. tapi akan cuba sedaya upaya..... terima kasih,... entri kali ni mengingatkan aku ttg tanggungjawab anak... :)

    ReplyDelete

Sahabiah: