Thursday, 19 December 2013

Sod Ba Ro




“ Kamu nak tahu? Tangisan anak saya semalam masih terngiang-ngiang dalam otak saya sampai sekarang. Allah.. Saya tak tahu kenapa saya marah anak saya semalam. Mungkin sebab penat tambah pulak dengan kerja yang tak pernah habis, saya lepaskan amarah kat anak saya. Menyesal saya.. Saya tak pukul dia, saya Cuma kibas kain pelikat saja. Tapi bunyi libasan kain tu cukup kuat sampai anak saya menangis, sampai emak saya yang masa tu ada di tingkat atas pun dengar dan terkejut. Tak pernah lagi saya marah macam semalam. Lepas anak saya tidur, mak saya panggil. Dia cakap, kenapa Dil buat anak macam tu? Ayah Dil dulu tak pernah buat Dil macam tu kan?? Saya menyesal jugak.. Kenapalah saya tak boleh sabar masa tu? “ …
Kisah yang diceritakan Dr. Fadzil tamat disitu. Memang sudah lumrah, setiap kali masuk kelas, Dr. Fadzil akan mulakan dengan sedikit tazkirah pendek. Dan kebanyakkan tazkirah itu akan diselang-selikan dengan kisah keluarga Dr. Fadzil. Sungguh, aku suka mendengar kisah keluarga Dr. Fadzil. Setiap kata darinya punya seribu pengajaran bagi mereka yang mahukan pengisian. Mungkin bagi yang lain itu Cuma satu kisah biasa yang berlaku dalam setiap kehidupan insan bernama keluarga. Tapi tidak bagi aku. Kerana setiap patah kata, setiap satu cerita dari Dr. Fadzil punya makna yang mahu disampaikan kepada setiap jiwa-jiwa. Dan niatnya Cuma satu, mahu yang lain mengambil ibrah dari apa yang berlaku.

Siapa Dr. Fadzil? Maaf, dia bukan graduan universiti luar negara mahupun tokoh  negara. Dia Cuma graduan IPTA biasa, tetapi menjadi insan luar biasa. Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana dan agak susah, mengajar Dr. Fadzil untuk menjadi seorang yang luar biasa. Kerana dia tidak mampu untuk hidup seperti insan biasa yang lain. Mahu belajar jugak susah, apatah lagi mahu mengikut kemahuan yang lain? Ayat Dr. Fadzil yang selau diungkapkan ialah “ Saya bukan orang senang dahulu, menyebabkan saya lebih menghargai kesenangan saya pada hari ini”. Ayah ibu Dr. Fadzil juga hanya insan biasa yang berhasrat mahu menghasilkan insan-insan luar biasa melalui didikan orang biasa. Ayahnya Cuma pemandu teksi dan ibunya pula suri rumah. Tapi ada satu kelebihan ayah Dr. Fadzil, iaitu ayahnya mampu bertutur dalam banyak bahasa seperti Inggeris, Cina, Tamil, Arab dan Bangladesh. Itu kelebihan ayah Dr. Fadzil.

Untuk kelas yang terakhir, tazkirah Dr. Fadzil kali ini sedikit panjang. Dan kali ini dia mahu bercerita mengenai saat getir hidupnya. Kisah sedih yang dipendam seorang diri tanpa ada yang mengetahui kecuali si isteri.
“ Saya nak cerita kisah saya. Bagi saya cukup sedih, tak tahu lah bagi kamu macam mana. Dulu, lepas tamat belajr di politeknik, sebenarnya saya dapat satu tawaran untuk sambung pelajaran di luar Negara. Dan masa tu, taka da siapa yang tahu. Tiba-tiba saya dapat panggilan dari rumah. Katanya ayah saya terkena strok. Allah.. Cepat-cepat saya balik. Dah terlupa pasal tawaran tadi. Dalm seminggu saya jaga ayah saya, Alhamdulillah, dia makin ok. Tapi kesan strok tu masih ada lah. Satu hari, saya bawak mak saya pergi hospital tengok ayah saya. Bila sampai tu, tiba-tiba mulut mak saya jadi senget dan badan dia tak boleh bergerak. Saya tanya mak saya, mak kenapa mak? Mak saya jawab tak tahu. Rupa-rupanya, emak saya pun terkena serangan strok masa tu. Allah.. Di depan ayah saya yang belum sihat, emak saya pulak terkena strok. Dan masa tu, kedua mak ayah saya terkena serangan strok dan ditempatkan dalam satu hospital yang sama. Emak saya di tingkat bawah, dan ayah saya di tingkat atas. Dan jadi kerja saya untuk jaga mereka masa tu. Terpaksa lh berlari sekejap keatas, sekejap kebawah. Penat, memang penat. Tapi mak ayah saya lagi penat jaga saya. Dan yang penting, diorang tak pernah merungut sikit pun. Sampai satu tahap, saya rasa berat ujian yang Allah bagi kat saya masa tu. Saya menangis. Saya menangis kat tepi tangga sorang-sorang. Mak ayah, dalam hospital. Pada masa yang sama.. Allah.. itu ujian besar buat saya masa tu. “

“ Dan setiap pesakit strok akan ada melalui satu kesan akibat penyakit tersebut. Mak ayah saya pun tak terkecuali. Masa tu, ayah saya tiba-tiba menjadi seorang yang sangat pemarah, mak saya pulak menjadi seorang yang sangat penyedih. Semua tu satu kejutan buat saya. Sebab ayah saya sebelum ni seorang yang sangat sabar. Tak pernah dia marah-marah. Dan dia suka sangat sebut perkataan sabar. Sabar, sabar, sabar.  Kadang-kadang saya pun pelik dengan ayah saya, kenapalah dia asyik sebut sabar saja. Pernah, satu hari, masa tu saya budak-budak lagi. Kat kampung ada satu mensyuarat jawatankuasa kampung. Keadaan masa tu gentinglah bila semua orang tinggi suara, bergaduh dan tengking menengking. Tiba-tiba ayah saya bersuara, tapi dia Cuma cakap, Sabar.. Lepas tu ada seorang pak cik tu, tinggikan suara kat ayah saya dan cakap, “ Pak Cad ni sikit-sikit sabar, sikit-sikit sabar, baik pi sembunyi bawah kain gebar! “ (Kain gebar bermaksud kain selimut bagi orang utara) Kata-kata pak cik tu di sambut dengan ketawa oleh semua orang yang ada kat situ. Saya rasa malu sangat bila ayah saya diketawakan. Bila sampai rumah, saya pun tanya ayah saya, ayah ni asyik cakap sabar saja kenapa? Sampai semua orang ketawakan ayah. Ayah tak malukah? Kemudian ayah saya pun jawab. “ Dil, taw kenapa ayah asyik cakap sabar? Sebab hanya orang luar biasa yang mampu cakap benda tu masa semua orang lain tengah marah, tengah gaduh. Dil, biar kita orang biasa, tapi kelakuan kita tu yang luar biasa. Sabar. Allah pun dah cakap Dil, ‘Sesungguhnya Allah itu bersama dengan orang-orang yang sabar’.. Kenapa nak malu Dil? “ Allah.. lepas tu, langsung saya tak mempersoal lagi bila ayah cakap sabar. Sungguh, sod ba ro, tiga huruf, tapi bukan senang semua orang nak apply. “
“Ayah saya meninggal di hospital masa dia kena serangan strok tu. Dan mak saya, Alhamdulillah masih ada dengan saya sampai sekarang. Cuma dia sudah tak boleh berjalan. Saya janji dengan diri saya, nak jaga emak sebaiknya sebab bila saya dah tengok macam mana susah, isteri saya nak lahirkan anak saya, baru saya tahu macam mana susah emak saya nak lahirkan saya dulu. Allah.. macam mana kuat seorang ibu itu menahan kesakitan ketka melahirkan anak yang dikandung… Saya tak kisah terpaksa bersusah payah demi mak saya kerana dia dah banyak bersusah payah demi saya.. Pesanan saya dekat awak semua, tak kiralah setinggi mana awak terbang, sejauh mana awak berjalan, jangan pernah lupa untuk pulang ke gagang. Sebab, mak ayah sentiasa menunggu dan tertunggu-tunggu untuk anaknya pulang..”

Satu yang aku kagum dengan Dr. Fadzil, setiap kali di menyebut perkataan ‘emak’ matanya berkaca-kaca, air mata mula bertakung di mata. Allah.. 

Monday, 16 December 2013

Warkah Buat Emak.




Assalamualaikum wbt…
Emak,
Warkah ini along nukilkan khas buat emak yang sangat along rindui. Berani along katakan hanya Allah menjadi saksi betapa along rindu pada emak. Saat ini, along sangat mengharapkan emak ada disebelah along. Menenangkan dan memeluk along tanpa ada ruang yang terpisah. AllahuAllah.. Emak, along rindu…
Sejak dari kecil, along banyak menyusahkan emak. Sudah lah songsang, kelahiran along juga bermasalah meneyebabkan memberi risiko kepada kesihatan emak. Tapi, emak tetap kuat mahu melahirkan along. Emak, terima kasih.. Walau nyawa emak hampir putus ketika melahirkan along, emak tetap kuat. Emak tak berputus asa.  Sebab tekad emak, along selamat dilahirkan. Emak, maafkan along, buat emak sakit sejak along mula dilahirkan lagi.
Emak, emak ingat masa along di darjah 4? Ada satu tragedi yang sangat mengajar along. Mengajar along agar tak melawan cakap emak lagi. Satu hari, along nak ke kelas petang di sekolah. Tapi, along tak salam emak kan? Sebab along merajuk dengan emak masa tu.. Emak ingat apa yang berlaku? Along kemalangan. Jatuh basikal. Teruk kan emak? Habis muka along calar-balar. Habis tangan along luka-luka. Ayat emak untuk along Cuma satu, “Along lupa salam emak tadi kan? Sebab tu jatuh… Lain kali jangan lupa tau..” Lembut.. Kata-kata yang emak tuturkan. Saat tu, along janji dengan diri sendiri, along takkan pernah lupa salam emak lagi.
Emak.. Lagi satu yang along tak boleh lupa. Emak ingat tak masa darjah 6? Emak hantar along pergi qiamullail kat sekolah kan? Emak hantar dengan kereta. Lepas dah sampai sekolah, masa emak nak balik, tiba-tiba pintu kereta terkunci, tak boleh bukak. Telefon emak tertinggal dalam kereta. Emak tak boleh telefon sesiapa untuk tolong ambil emak di sekolah. Jadi, emak balik jalan kaki ke rumah kan? Tapi emak ingat along tak tahu. Sebab emak suruh along masuk dalam sekolah dulu, baru emak balik. Along tahu emak. Along tahu, emak balik jalan kaki ke rumah. Menangis along malam tu. Sepanjang qiamullail, air mata along tak berhenti mengalir, sebab ingat emak. Kesian emak… Sebab along, emak susah.. Maafkan along emak.. Along susahkan emak lagi…

Emak… Masa berlalu. Along semakin meningkat remaja. Seiring usia yang meningkat, pelbagai perangai buruk yang along berikan buat emak.. AllahuAllah… Along menyesal dengan perlakuan along dulu.. Maafkan along emak. Maafkan along untuk setiap kata-kata emak yang along melawan.. Maafkan along untuk setiap kata-kata emak yang along ingkar… Maafkan along untuk setiap kata-kata emak yang along buat tak dengar… maafkan along emak..
Emak, ingat lagi kisah masa along tingkatan 3? Masa emak dapat tahu along mula bercinta? Allah.. Maafkan along emak.. Along ingat lagi muka kecewa emak masa tu.. langsung along tak boleh lupa..  Ayat emak Cuma satu, “ Emak ingat anak-anak emak semua baik, tapi kenapa buat macam ni? “ Allah… Ayat itu along ingat sampai sekarang emak… Ayat yang diluahkan dengan penuh rasa terluka. Maafkan along emak.. Along janji tak buat lagi..
Emak.. Alhamdulillah.. Keputusan SPM along baik. Emak gembira kan? Allah.. Along bahagia dapat beri sesuatu buat emak.. Along Nampak emak gembira.. Emak ingat masa along masuk matrikulasi? Itu kali pertama along jauh dari keluarga. Emak ingat tak satu along telefon emak yang cakap selipar along putus? Along Cuma bagitahu emak. Tapi, petang tu, emak dengan ayah datang hantar selipar baru untuk along. Allah.. Terkejut along. Sangat-sangat.. Sampai macam tu emak ayah sayangkan along.. Masa nak balik, awan mendung, hari nak hujan. Ayah dengan emak pulak datang dengan motor je masa tu.. Emak ayah balik jugak. Dan along yakin, emak ayah balik terpaksa redah hujan lebat.. AllahuAllah.. menangis lagi along.. Kesian emak ayah.. Sebab selipar along, terpaksa redah hujan lebat dengan motorsikal.. Maafkan along emak.. Along susahkan emak…
Emak, emak ingat bila along mula-mula sakit? Setiap masa kita ulang-alik ke hospital. Tunggu berjam-jam. Emak tak pernah complain lambat atau penat. Bila emak nampak tangan along lebam-lebam sebab terpaksa ambil darah untuk ujikaji, emak macam nak marah jururawat tu kan? Sebab emak risau keadaan along.. Terima kasih emak.. Sebab jaga along..
Emak.. Ingat lagi masa ayah masuk hospital? Malam tu bila ayah masuk icu, emak risau sangat-sangat. Along tahu… Emak, sepanjang ayah dalam hospital, sekalipun emak tak pernah tinggal ayah. Along nampak, emak tak tidur, jaga ayah. Emak letih, tapi langsung tak pernah tunjuk. Emak tahu apa along rasa? Along rasa bangga. Sangat bangga. Sebab emak along isteri solehah. Ibu mithali. Along yakin.. Terima kasih emak, sebab menjadi terlalu sempurna..
Emak, emak, emak… Along sangat bersyukur, terlalu bersyukur dengan pinjaman Allah buat along.. Emak.. Emak kuat, tak pernah menitiskan walau setitik air mata di hadapan anak-anaknya, emak yang sangat kuat, tak pernah merungut dengan pelbagai kerenah suami dan anaknya, emak yang sangat kuat, sanggup tak makan demi suami dan anak-anaknya.. Allah… terlalu besar kurniaan Allah buat along apabila Dia hadiahkan emak sebagai emak along… Terima kasih Ya Allah.. Alhamdulillah…
Emak, along tahu, warkah along ini, emak takkan pernah baca. Kerana, emak telah pergi meninggalkan along saat warkah ini baru dinukilkan.. emak, ini semua rasa hati along.. Yang terpendam, yang tak pernah along luahkan… Biar warkah ini tanpa penerima.. biar warkah ini tak pernah dibaca.. Kerana ia hanya nukilan anakmu yang hina… Buat emak di alam sana… Emak, doa untuk emak takkan along lupa.. Moga-moga Allah terima doa anak emak yang hina ini… Moga-moga emak sentiasa dalam perlindungan Ilahi…
Emak, tunggu along ya..  Moga kita bertemu di Syurga…



Thursday, 21 November 2013

tiada tajuk 10

Cerpen : Aku bukan Robot Dakwah !


  "Mat, aku penat la asyik usrah sana, usrah sini, program sana, program sini.." rungut Haikal.

Ini bukan kali pertama dia merungut kepada sahabatnya. Sudah acap kali ayat rungutan yang sama yang asyik Haikal ucapkan. Mat sendiri sudah bosan mendengar ayat yang sama.

  " Apa yang kau penatkan Haikal? Pergi usrah, bukan kena angkat batu pun.. Pergi program, bukan kena angkat balak pun.. Apa yang penat? Ingat Haikal, ni tanggungjawab kita. Dakwah bukan boleh dibawa main.." balas Mat.

  " Eh Mat, aku join usrah sebab nak makanan rohani untuk diri aku.  Tapi bukan untuk memenatkan diri aku. Aku nak berusrah hanya bila aku nak.. bukan macam sekarang, pergi hati tak rela, tak pergi naqib terasa.. Aku cuma nak join program bila aku nak. Bukan macam sekarang, berprogram setiap masa, tapi dalam keadaan terpaksa.. Haihhh.. Penat Mat! Penat! " untuk kesekian kalinya, Haikal merungut lagi...

  Dengan senyuman sedikit sinis, sambil menggelengkan kepala, Mat membalas, " Kau nak berusrah hanya bila kau nak? Kau ingat naqib kita tu tunggu kau saja ke? Kau nak berprogram hanya bila kau nak, kau ingat semua program tahu jadual kau ke? Haikal, aku tengok kau ni berusrah dan berprogram bukan atas kerelaan tetapi atas tuntutan. Macam robot. Robot dakwah..."

 " Robot dakwah? Maksud kau? " tanya Haikal..

" Robot dakwah maksudnya kau hanya berdakwah kerana ia tuntutan kau sebagai ahli usrah. Kau tak bersungguh-sungguh. Kau buat sebab terpaksa Haikal. Bukan sebab kau nak.. Habis macam mana? Apa nilai gerak kerja kau di mata Allah? Macam debu-debu berterbangan sajalah.. Sia-sia.. Ingat Haikal, dalam setiap perbuatan itu, niat yang utama.. Bukan sebab takut naqib terasa, bukan sebab hati terpaksa, tapi sebab jiwa yang rela.." Mat membalas..

   “Mat, aku join semua program. Aku tak skip usrah kalau tak da hal yang menghalang. Tapi kau masih kata kau robot. Aku tak faham.. Apa lagi yang aku salah? Aku Cuma cakap aku penat. Bukan nak berhenti.. “ Haikal mempersoal lagi.

  “ Kau tahu apa punca futur? Bila kau sudah tak rasa manis dalam bergerak kerja. Bila rasa tenang berusrah itu telah hilang, bila rasa indah dakwah itu telah pergi… Robot dakwah, pergi usrah hanya atas arahan naqib, bukan dengan hati. Join program kerana takut orang cop futur, bukan dengan jiwa. Tanpa hati, tanpa jiwa, apa lagi kalau bukan robot? Berdakwah, tapi tak mampu wujudkan rasa. Rasa apa? Rasa tenang jalankan tanggungjawab. Nak tahu rasa tu macam mana? Rasa tenang macam saat kau sujud di lantai bumi… Allah…”

  “ Haikal, aku nak ceritakan satu hadis. Hadis Rasulullah SAW. Diceritakan Shufayy Al- Ashabi memasuki Madinah dan terlihat seorang lelaki dikerumuni oleh orang ramai. Lelaki tersebut ialah Abu Hurairah dan dikatakan beliau baru mendengar satu hadis dari Rasulullah SAW. Shufayy Al-Ashabi meminta Abu Hurairah untuk menceritakan hadis tersebut. Lalu Abu Hurairah pun menceritakan hadis daripada Rasulullah SAW itu..

‘ Apabila datangnya Hari Khiamat, Allah akan turun untuk memberi penghakimaNya kepada seluruh manusia. Dan setiap umat manusia akan melutut untuk penyerahan. Orang yang pertama dipanggil ialah lelaki yang telah mempelajari al-quran dengan sepenuh hatinya, lelaki yang mempunya kekayaan harta dan lelaki yang mati kerana Allah.

Allah akan berkata kepada lelaki yang pertama, ‘Apakah yang sudah kamu lakukan dengan  ilmu yang kamu pelajari? ‘ Dia akan berkata, ‘Aku berjaga pada waktu malam dan siang hari untuk membacanya. Allah kemudian berkata, ‘Kamu telah berdusta’. Para malaikat akan turut berkata ‘Kamu telah berdusta’. Allah akan berkata, ‘Engkau hanya mahu orang berkata bahawa sifulan dan sifulan itu adalah pembaca al-quran, dan itulah yang telah dikatakan’.

    Kemudian lelaki kedua dihadapkan kepada Allah dan Dia akan berkata, ‘ Tidakkah aku dengan murah hati memberikan kepada kamu agar kamu tidak meminta-minta daripada orang lain?’ Lelaki itu berkata, ‘Sudah tentu, Tuhanku,’ Allah kemudiannya berkata ‘Apakah yang engkau buat dengan harta kekayaan yang telah aku berikan kepada kamu?’ Dia menjawab, ‘Aku telah memberikannya kepada saudara-saudaraku dan bersedekah’. Allah berkata, ‘Kau telah berdusta’ dan para malaikat turut berkata ‘kau telah berdusta’. Allah berkata lagi, ‘ Kamu hanya mahu orang berkata sifulan dan sifulan itu sangat pemurah dan itulah yang diperkatakan’.

    Lelaki yang mati kerana Allah itu dihadapkan, dan Allah berkata, ‘Untuk apa kamu dibunuh?’ Lelaki itu berkata, ‘Aku telah pergi berjihad demiMu dan terus berperang hingga aku dibunuh’. Lalu Allah berkata, ‘Kamu telah berdusta’ dan para malaikat pun berkata, ‘kamu telah berdusta’. ‘Kamu hanya mahu orang berkata sifulan dan sifulan itu sungguh berani dan itulah yang diperkatakan’.
Kemudian Rasulullah SAW berkata, ‘WAhai Abu Hurairah, tiga orang lelaki inilah yang akan digunakan untuk menyalakan api neraka’…
AllahuAllah..” Mat tertunduk dan terdiam..


   “ Yang sudah sanggup mati itu pun dikatakan berdusta, apatah lagi kita ni Haikal? Di mana tahap kita? Allah.. Haikal, paksa diri untuk rela, gesa jiwa untuk redha.. “ Mat menamatkan bicaranya….

Wednesday, 6 November 2013

Pergi.

 Kehidupan. Ada macam-macam rasa. Tahu rasa yang paling susah? Bila rasa HILANG. Bila rasa sesuatu telah PERGI. Bila rasa ada sesuatu dalam hidup yang dah KURANG. Aku paling yakin. Itu rasa paling susah. Susah bila hilang barang yang disayang. Susah bila insan paling penting dalam diri diambil pergi. Susah bila ada rasa sayang yang semakin berkurang. Dan yang paling susah bila cinta Allah, iman, hidayah, taufiq pun turut berlalu pergi. Allahurabbi...

  Tak semua dapat rasa, rasa yang hilang, pergi dan kurang. Hanya insan terpilih. Mohon yakin, anda sangat terpilih. Ada yang hilang sahabat yang disayang. Ada yang bersedih insan pelahir diri sudah diambil pergi. Ada yang khuatir rasa sayang semakin berkurang. Dan semua rasa ini, cuma satu yang sama. Saat bersendirian, ada titis air yang mengalir. Saat bersendirian, ada memori-memori dulu yang mula mengusik kalbu. Ada yang hadir rasa menyesal, ada yang hadir rasa bersalah, ada yang hadir rasa nak berubah.

    Dan disaat mereka yang melalui rasa ini perlu mengharungi nya bersendirian, Allah sentiasa memberi kekuatan. Tak pernah Dia biarkan bersendirian. Tika itu, hati rasa terisi, ketenangan datang membaluti diri, kekuatan datang menemani hari. Biar tiada insan ditepi, asal Allah tetap di hati.

  Ada satu masa rasa hilang ini perlu di hadapi. Ada satu masa rasa pergi ini perlu diredhai. Ada satu masa rasa kurang ini perlu diisi. Hati jangan biar kosong. Isi dengan ilmu dari Ilahi. Isi dengan nama Si Pencipta diri. Mohon, jangan tangisi lagi rasa hilang, pergi dan kurang ini. Kerana kita betuah dapat merasa rasa yang tak semua orang mampu hadapi. Biar dia kata aku lemah, aku tak peduli. Bukan dia yang terpilih untuk diuji rasa yang paling susah ini. Siapa yang lemah sebenarnya...

  Buat yang kehilangan, buat yang merasa sesuatu yang pergi, buat yang risau rasa yang berkurang, bangunlah. Andai ada lagi air yang mengalir, pastikan ia kerana Ilahi. Biar hilang, biar pergi, biar kurang. Kerana Allah mengganti yang hilang, menjaga yang pergi dan menambah yang kurang. Yakin, semua cukup.

Wednesday, 18 September 2013

Ukhuwahfillah?

Kami kata ukhuwah kami kerana Allah,
tapi kami tak mampu nak berlapang dada.
Kami kata uhuwah kami kerana Allah,
tapi kami tak mampu nak berbaik sangka.
Kami kata ukhuwah kami kerana Allah,
tapi kami selalu lari bila ada masalah.
Kami loser. Kami cakap, tapi kami tak apply.

Tuesday, 17 September 2013

Muhasabah.











ada masa kita tak perlukan penyelesaian. cukup sekadar muhasabah sebentar.



Tuesday, 3 September 2013

tiada tajuk 9


 Mesir, Aku dai’e paling manja.

  “Rejim tentera As-Sisi (Menteri Pertahanan Mesir Jeneral  Abd Fatah As-Sisi) adalah tentera syaitan kerana mereka akan terus mengejar dan membunuh kami tanpa simpati,” kata penyokong Ikhwanul Muslimin, Dr. Osman Mohamad,55.

  Itu yang tertera di dada akhbar Harian Mitra bertarikh 17 Ogos 2013. Hari ini merupakan hari keempat rakyat Mesir yang merupakan penyokong Dr. Morsi dibedil habis-habisan. Beribu-ribu rakyat Mesir tanpa mengira umur telah syahid dalam mempertahankan agama mereka. Tentera-tentera di bawah pimpinan As-Sisi Laknatullah tanpa ada rasa belas kasihan sedikit pun membunuh semua rakyat Mesir  yang hanya mengadakan  perhimpunan bagi menegakkan agama Allah.

  “Allah…” itu sahaja yang mampu keluar dari mulut Musa. Sebenarnya hatinya sakit mengenang nasib yang menimpa saudara-saudaranya di Mesir. Mahu sahaja dia berangkat ke Mesir dan turut berperang mempertahankan agamanya. Penderitaan saudara-saudara seIslamnya di sana ibarat penderitaan nya juga. Musa sentiasa mendoakan kesejahteraan Mesir moga Islam masih ada tempat di sana. Wajah Musa muram dalam menahan rasa sedih di hati.

  Hujan lebat yang turun tiba-tiba menyebabkan  Amar terpaksa mempercepatkan langkah bagi mencari tempat berteduh. Dari jauh Amar terlihatkan Musa. Lantas dia berlari-lari anak bagi mendekati Musa sementara menunggu hujan berhenti. “Musa! “, laung Amar.  Musa mengangkat wajahnya dan melemparkan senyuman nipis kepada Amar lantas menghulurkan tangan untuk bersalam. “Assalamualaikum sahabat,” balas Musa. Amar hanya tersenyum malu disindir Musa dalam diam. Siapa suruh dia terlupa untuk memberi salam terlebih dahulu. Salam Musa Amar jawab dalam tersipu-sipu.

  “Mahu ke mana Amar? Hujan-hujan begini masih mahu berjalan-jalan?” soal Musa. “Aku dari perpustakaan tadi. Mahu keluar untuk makan tengah hari lah Musa. Kau sudah makan?” Amar menyoal Musa kembali. Sebenarnya Amar tertanya-tanya akan wajah Musa yang kelihatan agak sugul. “Belum. Aku tak ada selera lah.” jawab Musa tanpa memandang wajah Amar. Dia melepaskan pandangan kearah rintik hujan yang semakin lebat. “Kenapa dengan kau Musa? Dari jauh tadi aku Nampak kau muram saja. Kalau kau ada masalah, kau boleh kongsi dengan aku. Mana tahu aku boleh tolong”, ikhlas Amar menuturkan kata-kata itu. Dia mahu tahu apa yang membuatkan Musa bermuram durja kerana setahunya Musa itu orangnya sentiasa tersenyum dan tenang. Belum pernah dia melihat Musa murung begini.

  “Aku tak punya apa-apa masalah Amar. Cuma… Kau bacalah ni..”,kata Musa sambil menyerahkan akhbar Harian Mitra kepada Amar. “ ohh, serangan ke atas rakyat Mesir.. Aku ada dengar juga hal ini. Tapi aku  tak tahu hujung pangkalnya cerita ini. Berita ini yang buat kau sedih? Kenapa ada saudara-mara kau yang menetap di sana kah? Mereka terlibat dengan serangan ini?” bertalu-talu soalan Amar kepada Musa. Dia kurang faham mengapa berita serangan ini yang membuatkan Musa besedih hati. Musa terasa seperti mahu marah ketika Amar membaca berita serangan ke atas Mesir dengan endah tak endah. Amar seperti  tidak menghiraukan serangan yang berlaku ke atas saudara seIslamnya di Mesir. Amar juga seperti tidak mahu ambil tahu akan berita ini. “Amar, aku bersedih kerana di sana ada saudara-saudara seagama dengan kita yang  dalam kesusahan dan kesakitan. Mereka menanggung semuanya sendiri demi mempertahankan Islam. Demi mempertahankan Ikhwanul Muslimin. Sementara kita di sini masih bersenang-lenang. Terlalu senang sehingga tiada rasa mahu ambil tahu akan penderitaan saudara kita di luar sana..”balas Musa sambil tertunduk wajahnya. Dia sebenarnya sedang cuba menahan diri dari meninggikan suara kepada sahabatnya itu.

   Amar sedikit terasa dengan kata-kata Musa. Musa seakan mahu memerli dia kerana dia kurang tahu mengenai keadaan gawat di Mesir. “Tapi Musa, bukankah hal di Malaysia yang perlu dipandang serius? Bukan aku kata jangan ambil tahu hal di Mesir, cuma jangan lupa Malaysia juga perlukan perhatian. Kadang-kadang kita terlalu terbawa-bawa dengan kesedihan negara luar sedang keadaan Malaysia yang semakin nazak ini juga langsung tidak kita pedulikan. Kenapa kau rasa sedih mengenai keadaan di Mesir sehingga menunjukkan wajah yang terlalu  muram? Sedangkan Malaysia yang nampak aman luarannya tapi  kucar-kacir keadaan di dalamnya. Tidakkah kau bimbang akan kes maksiat yang meningkat? Tidakkah kau risau akan kes pembunuhan, kes anak luar nikah dan pelbagai lagi masalah sosial di Malaysia yang semakin merebak dengan cepat dan senyap? Terlalu cepat sehingga kita terlepas pandang. Terlalu senyap sehingga kita terlupa mahu memandang. Mengapa kau tidak menunjukkan wajah muram bila memikirkan hal di Malaysia Musa?” Amar membalas dengan panjang lebar. Dia tidak dapat terima apabila disindir oleh Musa tadi. Amar mula mahu mewujudkan perdebatan dengan Musa. Dia tetap mahu menang.

      “Amar, apa yang kau cakap semuanya betul. Aku tidak bantah. Tapi, kita kena ingat Amar, Islam itu bukan cuma di Malaysia. Islam itu di seluruh dunia. Jadi umat Islam yang lain di seluruh dunia juga adalah saudara kita. Saudara seIslam kita bukan cuma di Malaysia. Jadi kita perlu luaskan pemikiran, Amar. Jangan pandang masalah cuma di Malaysia. Jika kita terus jumudkan pemikiran, bagaimana Islam itu mahu maju? Ingat Amar, kita seluruh dunia ini adalah umat Muhammad. Andai tak bersatu bgaimana mahu padu? Aku tidak cakap yang kita perlu lupakan masalah di Malaysia dan tumpukan pada masalah luar sahaja. Aku cuma tidak setuju bila ada yang tidak mahu ambil tahu tentang perihal mereka di Mesir. Mereka itu saudara kita Amar! Mereka tak minta banyak dari kita, sekadar doa. Tak salah kiranya dalam kita mendoakan Malaysia, kita selitkan juga doa buat Mesir. Amar, Mesir itu tanggungjawab, Malaysia itu amanah. Maaf Amar, jika kau masih mahu teruskan perdebatan yang mana perlu diutamakan antara Mesir dan Malaysia, aku tak berminat. Kerana bagi aku keduanya utama.” Musa menerangkan pendapatnya panjang lebar. Matanya tenang memandang Amar.

  “Baiklah Musa. Maafkan aku.. Aku cuma tertanya-tanya kenapa kau begitu sedih dengan nasib mereka di Mesir? Kesedihan kau ibarat kehilangan ahli keluarga kau sendiri. Penyesalan kau seperti kau ada melakukan kesalahan yang sangat besar. Kenapa Musa?” Amar menyoal dengan lembut. Dia tidak mahu buat Musa semakin sedih.

” Umat Islam ibarat satu jasad. Menyakiti mereka ibarat menyakiti hati sendiri”.

  “Amar, kesedihan aku memang kerana mereka semua itu ibarat keluarga aku sendiri. Penyesalan aku kerana aku tak dapat buat apa-apa bagi membantu mereka. Usaha aku kini hanya mampu berdoa. Kau tahu Amar, syabab-syabab di sana sedang berusaha untuk menegakkan Islam dengan syahid. Tapi aku di sini hanya mampu berdoa buat mereka. Kita berjuang menegakkan Islam hanya dengan menekan papan kekunci untuk berdakwah. Aku rasa aku daie paling manja! “ luah Musa.

  “Musa, keadaan kita di sini dan mereka di sana tidak sama. Sudah jalan perjuangan mereka perlu untuk mereka syahid di medan perang, sedang jalan perjuangan kita cuma menekan papan kekunci atau apa sahaja. Ujian setiap manusia itu berbeza. Mana mungkin kita meminta sesuatu yang sama kerana Allah itu Maha Adil. Surah Al-Baqarah ayat 286: Allah tidak akan menguji seseorang itu di luar kemampuannya. Jika hanya ini kemampuan kita, padanlah jika kita tak diuji seperti mereka”, Amar cuba memujuk keresahan Musa.

  Musa berdiri lalu memandang Amar. “Sebab itulah aku kata aku daie paling manja. Ujian aku disini cuma mengikut kemampuan aku. Aku bukan mahu merungut. Aku terima. Cuma, andai saja aku boleh melakukan sesuatu untuk membantu mereka di sana. Kau tahu, bukan mudah Ikhwanul Muslimin itu mahu berdiri. As-Syahid  Imam Hassan Al-Banna perlu melalui pelbagai rintangan bagi menegakkan Ikhwanul Muslimin. Semasa Ikhwanul Muslimin mahu membina masjid pertama mereka di Ismailiyah, Mesir, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna difitnah dan dituduh pecah amanah. Hampir saja rakyat Mesir hilang kepercayaan kepada beliau. Tapi, atas kuatnya usaha dan kemahuan beliau, Allah membantunya. Ikhwanul Muslimin mampu berdiri gah di tanah Mesir. Tika As-Syahid Imam Hassan Al-Banna masih lagi bergelar pemimpin Ikhwanul Muslimin, ada juga ahli yang mahu merampas kuasa dan memfitnah beliau. Banyak ujian dan dugaan untuk menegakkan Ikhwanul Muslimin sehingga As-Syahid Imam Hassan Al-Banna dibunuh. Sekarang dengan mudah Ikhwanul Muslimin itu mahu dijatuhakan. Tapi aku tetap kagum dengan semangat penyokong Ikhwanul Muslimin kerana walau mereka diserang, mereka tak mudah mengalah. Andai sahaja kita semua punya semangat seperti itu. Kerana itu aku kata aku daie paling manja. Kadang-kadang diuji sedikit aku sudah mahu merungut. Sudah mahu putus asa. Sudah rasa hilang semangat untuk berjuang. Apalah perjuangan aku disini  jika nak dibandingkan dengan perjuangan mereka disana. Dan tak mustahil penderitaan mereka di sana adalah akibat dosa kita disini..”

   Amar tersenyum dan membalas, “Jika kau daie paling manja, habis gelaran apa yang sesuai untuk aku? Yang langsung tak mengambil tahu urusan saudara-saudara di sana. Allah.. Terima kasih Musa kerana menyedarkan aku. Musa, kita mampu membantu mereka dengan berdoa. Gunakan segala kekuatan kita untuk mendapat bantuan Allah. Namun, jangan lupa berdoa kepada Allah untuk membantu kita meraih bantuanNya. Kekuatan kita, hanya dengan mengaku lemah di hadapan Allah. Dengan kelemahan itulah kita akan diberi kekuatan oleh Allah untuk mendapat bantuanNya. Doa itu senjata orang mukmin, Musa. Jika kau kata tak mustahil penderitaan mereka di sana adalah akibat dosa kita di sini, jadi tak mustahil juga doa kita disini mampu meraih bantuan Allah buat mereka disana. Teruskan berdoa, ya.. InsyaAllah, yakin janji Allah.”

  “InsyaAllah Amar, insyaAllah.. Terima kasih sahabat kerana sudi menemani dan melayan aku. Cara dakwah kita dan mereka tak sama. Aku yakin, jika ingin membaiki dunia, kita perlu baiki manusia. Dan untuk baiki manusia, kita perlu baiki hatinya. Untuk membaiki hati,  kita mesti bermula dengan memperbaiki solat. InsyaAllah, jika kita memperbaiki solat dan memperingatkan yang lain untuk turut memperbaiki solat, pasti segala punca dapat dikenal pasti. Cabarannya sekarang ialah berapa ramai anak muda yang meniggalkan solat. Bagaimana mahu memperbaiki sedang mereka sendiri tak menunaikan ibadah tuntutan Ilahi?” soal Musa.

   “ Itulah tugas kita Musa, mengingatkan  yang lain di samping memperbaiki diri sendiri. InsyaAllah, kebenaran yang pahit akan bangkit, kerana ramai yang menyedari diri semakin sakit. Sama-sama kita doakan ya, sahabat.” Kata Amar dengan penuh yakin.
“InsyaAllah. Amar, malam ini akan diadakan solat hajat perdana di Pusat Islam bagi mendoakan Mesir. Kau mahu pergi sama?” Musa menyoal dengan penuh hikmah. Moga Amar mahu ikut serta.

   “Boleh, insyaAllah.. Kita pergi bersama ya..” balas Amar dalam senyuman.
Perbualan ditamatkan setelah hujan berhenti. Urusan masing-masing diteruskan di samping ada sesuatu yang tersemat dalam hati mereka kesan perbualan tadi. Sudah terpasak dalam hati mereka kata-kata 

         “Aku bukan daie yang manja! “

p/s: sekadar rekaan.  Moga penulisan ini mendapat redha Allah.

Sahabiah: