Sunday, 3 May 2015

Balas


“Jahanam!” Anissa mendengus. Kali ini dipecut keretanya dengan kelajuan yang lebih tinggi. Hampir saja dia terbabas tadi. Tapi mungkin nasib masih menyebelahinya. Atau mungkin ajalnya belum masa. Anissa tekad. Ini yang terakhir. Ini penentu. Kalah atau menang. Hidup atau mati. Puas atau kecewa. Misinya Cuma satu. Balas tetap balas!

Enam pemandu berlumba atas, 3 maut
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka berusia tujuh bulan maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di KM 6.2 di sini awal pagi tadi.

  Keratan akhbar 14 tahun lalu dibuka kembali. Meski sudah beribu kali keratan akhbar itu dibaca, rasa sakit itu masih sama. Rasa sedih dulunya, kini bertukar menjadi berang. Rasa pilu saat itu bertukar menjadi marah. Sepertimana keratan akhbar 14 tahun lalu masih tersimpan elok, seperti itu juga eloknya memori Anissa akan kejadian yang menimpa keluarganya. Sakit. Terlalu sakit. Dan kali ini Anissa mahu membalas. Biar apa terjadi, hak keluarganya perlu dibela. Rasa sakitnya kehilangan perlu ada yang berkongsi rasa.
  Masih segar di ingatan Annisa. Saat itu dia baru berumur 5 tahun dan kakaknya berumur 7 tahun. Saat ibu ayah serta adik perempuannya dibunuh. Ya, dibunuh!  Meski dunia melihat itu sebagai satu kemalangan, tapi dari sudut pandang Anissa berbeza. Keluarganya itu dibunuh. Dibunuh oleh manusia yang tanggungjawabnya nipis. Yang nilai kemanusiaannya tiada. Yang rasa empatinya kosong.  Memang terlalu ramai yang meluahkan rasa sedih, simpati saat kejadian itu menimpa keluarganya. Tapi tak kurang juga ada yang mencela, masih membela mereka yang berlumba. Kononnya sudah ketentuan yang tercipta. Mereka mereka ini yang membuat Anissa pelik. Masih ada mereka begini yang bergelar manusia?
 Setelah kehilangan ibu ayah, Anissa dan kakaknya Amna dipelihara oleh keluarga angkat. Ibu ayah angkatnya tiada zuriat. Merekalah yang membesarkan Annisa dan Amna dengan baik. Penuh kasih sayang. Terasa tiada jurang antara mereka meski itu bukanlah ibu ayah kandungnya. Anissa dan Amna membesar dengan baik. Disekolahkan, dididik, dicurahkan segala kasih sayang kepada keduanya. Anissa dan Amna membesar menjadi remaja yang baik. Dari segi agamanya, adabnya dan akademiknya juga. Keduanya kini menuntut dalam bidang undang-undang di university terkemuka Malaysia. Masyarakat yang masih mengikuti kisah dua beradik ini meluahkan rasa bangga mereka. Anissa dan Amna dipuji dan dijadian teladan oleh banyak pihak.
Tapi, disebalik kesempurnaan hidup Anissa, masih ada sedikit rasa yang tersimpan. Sejak kecil, Anissa tidak sabar mahu menjadi dewasa. Masih ada sesuatu yang perlu dibalas. Dan semua itu hanya dapat dilaku apabila dia bergelar dewasa. Anissa membesar melangkaui usia. Saat anak kecil seusianya masih lagi bermain di taman, Anissa menjadi pemerhati sisi manusia. Dia mula menilai salah laku sang dewasa. Dan tak terkecuali dia tetap mengikuti perkembangan mereka mereka yang dia gelar pembunuh keluarganya. Ada hutang yang perlu dibayar oleh mereka.
Setelah Anissa meningkat remaja, dia mula berjinak-jinak dengan perlumbaan kereta-kereta mewah dijalanan. Dia belum punya kereta sendiri. Jadi dia hanya bergaul dengan mereka yang merupakan ahli kepada kelab perlumbaan tersebut. Dia mula mencuba berlumba kereta dengan menggunakan kereta rakan-rakannya. Dari situ dia belajar sedikit demi sedikit. Dari situ dia mengira detik demi detik. Detik untuk haknya tertegak.
Satu sebab utama Anissa menyertai kumpulan lumba kereta mewah ini adalah kerana salah seorang ahlinya yang menarik minat Anissa. Oh, bukan si penyebab kepada  kematian keluarganya. Tapi anak kepada si penyebab utama. Dia mahu mereka rasa. Sepertimana sakit dia kehilangan ibubapa, seperti itu juga dia mahu mereka rasa saat kehilangan anak mereka sendiri. Kali ini Anissa yang akan berlumba dengan anak kepada pembunuh ibuayahnya. Malam ini malam penentu.
“Jahanam!” Anissa mendengus. Kali ini dipecut keretanya dengan kelajuan yang lebih tinggi. Hampir saja dia terbabas tadi. Tapi mungkin nasib masih menyebelahinya. Atau mungkin ajalnya belum masa. Anissa tekad. Ini yang terakhir. Ini penentu. Kalah atau menang. Hidup atau mati. Puas atau kecewa. Misinya Cuma satu. Balas tetap balas!
Tika keretanya dipandu laju, satu kenangan menerjah minda Anissa. Kenangan terakhir bersama ibu ayahnya. Saat itu ibu ayahnya mahu keluar ke klinik kerana adiknya demam. Betapa kuat Anissa menangis saat itu kerana turut mahu mengikuti mereka. Dia hanya berusia 5 tahun ketika itu. Mungkin Allah sudah kurnia rasa buat dia. Rasa itu adalah kali terakhir dia melihat wajah keluarganya.
Airmata panas mengalir dari mata Anissa. Kali ini brek ditekan. Kereta diberhentikan dibahu jalan. Anissa menangis semahunya. Rindu. Rindu teramat. Dendam yang menyesak dada kini kalah pada rasa berdosa. Berdosa kerana dia masih tidak mampu redha. Berdosa kerana dia terlupa untuk berdoa. Berdoa untuk keluarganya yang telah tiada. Dan berdosa kerana dia terlalu asyik melayan rasa. “Allah..” Hanya itu yang terpacul dari mulut Anissa.
“Amna faham apa yang Aniss rasa. Amna pun rasa yang sama. Tapi balas bukan cara yang utama untuk menegakkan hak ibu ayah dan Ardha. Apa yang mampu kita peroleh andai anak dia turut kehilangan nyawa? Puas? Sekadar rasa puas yang sementara. Lepas tu, rasa sakit kita masih akan tetap sama bukan? Jadi apa yang terbela? Tiada apa. Nasib ibu ayah masih serupa. Bahkan Aniss boleh Amna katakan sama saja seperti mereka yang tanggungjawabnya tiada, nilai kemanusiaannya sifar, dan sifat empatinya kosong. Sama seperti mereka yang berlumba dulu. Sama. Serupa. Cuma mungkin sebabnya berbeza.” Luah Amna. Lembut. Tapi tepat ke hati Anissa.
“Jadi apa yang kita mampu laku Amna? Aniss tahu, Aniss faham kita perlu berdoa, redha dan terima. Tapi mesti ada yang kita perlu usaha kan? Agar tiada lagi yang menerima nasib yang sama. Agar bila mana kejadian sama berulang takkan ada lagi hak yang tidak terbela. Dan agar tiada lagi yang akan berlumba bersuka-suka.” Anissa membalas sedikit kecewa.
“Kita yang menjadi mangsa, maka kita yang paling tahu rasa. Satu cara utama mahu selesai segala, saat hukum Islam itu diangkat sebetulnya. Saat  hukum Islam itu diamal sepenuhnya. Maka saat itu, yakinlah ianya sebetul betul penyelesai segala permasalahan dunia. Aniss mahu berusaha? Usahalah sehingga hukum Islam itu diangkat selayaknya di Malaysia, di dunia. Saat itu yakin dan percayalah, rasa puas yang Anis damba pasti akan terbalas. Ini bukan hal klise seperti yang dibilang pak-pak menteri. Tapi ini hal utama yang mampu mengubah segala. Aniss, andai kata kejadian ibu ayah kita masih mampu mengajar dunia, apa Aniss fikir dengan menyebabkan kematian anak mereka Aniss mampu menyedarkan Malaysia? Belum mampu Aniss. Belum mampu. Yang kita perlu ubah bukan dia saja, tapi seluruh masayrakat. Agar takkan ada lagi yang menerima nasib serupa. Doa, usaha, Aniss. Angkat Islam. Insya Allah..” Amna menamatkan bicara. Kini, hanya tangis kedengaran bagi meluah segala rasa.
Selagi mana hukum Islam belum  tertegak, maka tak mustahil akan lahir ramai lagi mangsa mangsa seperti Anissa dan Amna di dunia. Dan tak semua Anissa dan Amna yang akan sedar akan solusi sebenar segala permasalahan. Saat itu, terimalah hakikat, manusia perlu membunuh untuk menuntut keadilan.

p/s : aku cuma tulis, mereka yang rasa. Al-fatihah.


No comments:

Post a Comment

Sahabiah: