Wednesday, 18 September 2013

Ukhuwahfillah?

Kami kata ukhuwah kami kerana Allah,
tapi kami tak mampu nak berlapang dada.
Kami kata uhuwah kami kerana Allah,
tapi kami tak mampu nak berbaik sangka.
Kami kata ukhuwah kami kerana Allah,
tapi kami selalu lari bila ada masalah.
Kami loser. Kami cakap, tapi kami tak apply.

Tuesday, 17 September 2013

Muhasabah.











ada masa kita tak perlukan penyelesaian. cukup sekadar muhasabah sebentar.



Tuesday, 3 September 2013

tiada tajuk 9


 Mesir, Aku dai’e paling manja.

  “Rejim tentera As-Sisi (Menteri Pertahanan Mesir Jeneral  Abd Fatah As-Sisi) adalah tentera syaitan kerana mereka akan terus mengejar dan membunuh kami tanpa simpati,” kata penyokong Ikhwanul Muslimin, Dr. Osman Mohamad,55.

  Itu yang tertera di dada akhbar Harian Mitra bertarikh 17 Ogos 2013. Hari ini merupakan hari keempat rakyat Mesir yang merupakan penyokong Dr. Morsi dibedil habis-habisan. Beribu-ribu rakyat Mesir tanpa mengira umur telah syahid dalam mempertahankan agama mereka. Tentera-tentera di bawah pimpinan As-Sisi Laknatullah tanpa ada rasa belas kasihan sedikit pun membunuh semua rakyat Mesir  yang hanya mengadakan  perhimpunan bagi menegakkan agama Allah.

  “Allah…” itu sahaja yang mampu keluar dari mulut Musa. Sebenarnya hatinya sakit mengenang nasib yang menimpa saudara-saudaranya di Mesir. Mahu sahaja dia berangkat ke Mesir dan turut berperang mempertahankan agamanya. Penderitaan saudara-saudara seIslamnya di sana ibarat penderitaan nya juga. Musa sentiasa mendoakan kesejahteraan Mesir moga Islam masih ada tempat di sana. Wajah Musa muram dalam menahan rasa sedih di hati.

  Hujan lebat yang turun tiba-tiba menyebabkan  Amar terpaksa mempercepatkan langkah bagi mencari tempat berteduh. Dari jauh Amar terlihatkan Musa. Lantas dia berlari-lari anak bagi mendekati Musa sementara menunggu hujan berhenti. “Musa! “, laung Amar.  Musa mengangkat wajahnya dan melemparkan senyuman nipis kepada Amar lantas menghulurkan tangan untuk bersalam. “Assalamualaikum sahabat,” balas Musa. Amar hanya tersenyum malu disindir Musa dalam diam. Siapa suruh dia terlupa untuk memberi salam terlebih dahulu. Salam Musa Amar jawab dalam tersipu-sipu.

  “Mahu ke mana Amar? Hujan-hujan begini masih mahu berjalan-jalan?” soal Musa. “Aku dari perpustakaan tadi. Mahu keluar untuk makan tengah hari lah Musa. Kau sudah makan?” Amar menyoal Musa kembali. Sebenarnya Amar tertanya-tanya akan wajah Musa yang kelihatan agak sugul. “Belum. Aku tak ada selera lah.” jawab Musa tanpa memandang wajah Amar. Dia melepaskan pandangan kearah rintik hujan yang semakin lebat. “Kenapa dengan kau Musa? Dari jauh tadi aku Nampak kau muram saja. Kalau kau ada masalah, kau boleh kongsi dengan aku. Mana tahu aku boleh tolong”, ikhlas Amar menuturkan kata-kata itu. Dia mahu tahu apa yang membuatkan Musa bermuram durja kerana setahunya Musa itu orangnya sentiasa tersenyum dan tenang. Belum pernah dia melihat Musa murung begini.

  “Aku tak punya apa-apa masalah Amar. Cuma… Kau bacalah ni..”,kata Musa sambil menyerahkan akhbar Harian Mitra kepada Amar. “ ohh, serangan ke atas rakyat Mesir.. Aku ada dengar juga hal ini. Tapi aku  tak tahu hujung pangkalnya cerita ini. Berita ini yang buat kau sedih? Kenapa ada saudara-mara kau yang menetap di sana kah? Mereka terlibat dengan serangan ini?” bertalu-talu soalan Amar kepada Musa. Dia kurang faham mengapa berita serangan ini yang membuatkan Musa besedih hati. Musa terasa seperti mahu marah ketika Amar membaca berita serangan ke atas Mesir dengan endah tak endah. Amar seperti  tidak menghiraukan serangan yang berlaku ke atas saudara seIslamnya di Mesir. Amar juga seperti tidak mahu ambil tahu akan berita ini. “Amar, aku bersedih kerana di sana ada saudara-saudara seagama dengan kita yang  dalam kesusahan dan kesakitan. Mereka menanggung semuanya sendiri demi mempertahankan Islam. Demi mempertahankan Ikhwanul Muslimin. Sementara kita di sini masih bersenang-lenang. Terlalu senang sehingga tiada rasa mahu ambil tahu akan penderitaan saudara kita di luar sana..”balas Musa sambil tertunduk wajahnya. Dia sebenarnya sedang cuba menahan diri dari meninggikan suara kepada sahabatnya itu.

   Amar sedikit terasa dengan kata-kata Musa. Musa seakan mahu memerli dia kerana dia kurang tahu mengenai keadaan gawat di Mesir. “Tapi Musa, bukankah hal di Malaysia yang perlu dipandang serius? Bukan aku kata jangan ambil tahu hal di Mesir, cuma jangan lupa Malaysia juga perlukan perhatian. Kadang-kadang kita terlalu terbawa-bawa dengan kesedihan negara luar sedang keadaan Malaysia yang semakin nazak ini juga langsung tidak kita pedulikan. Kenapa kau rasa sedih mengenai keadaan di Mesir sehingga menunjukkan wajah yang terlalu  muram? Sedangkan Malaysia yang nampak aman luarannya tapi  kucar-kacir keadaan di dalamnya. Tidakkah kau bimbang akan kes maksiat yang meningkat? Tidakkah kau risau akan kes pembunuhan, kes anak luar nikah dan pelbagai lagi masalah sosial di Malaysia yang semakin merebak dengan cepat dan senyap? Terlalu cepat sehingga kita terlepas pandang. Terlalu senyap sehingga kita terlupa mahu memandang. Mengapa kau tidak menunjukkan wajah muram bila memikirkan hal di Malaysia Musa?” Amar membalas dengan panjang lebar. Dia tidak dapat terima apabila disindir oleh Musa tadi. Amar mula mahu mewujudkan perdebatan dengan Musa. Dia tetap mahu menang.

      “Amar, apa yang kau cakap semuanya betul. Aku tidak bantah. Tapi, kita kena ingat Amar, Islam itu bukan cuma di Malaysia. Islam itu di seluruh dunia. Jadi umat Islam yang lain di seluruh dunia juga adalah saudara kita. Saudara seIslam kita bukan cuma di Malaysia. Jadi kita perlu luaskan pemikiran, Amar. Jangan pandang masalah cuma di Malaysia. Jika kita terus jumudkan pemikiran, bagaimana Islam itu mahu maju? Ingat Amar, kita seluruh dunia ini adalah umat Muhammad. Andai tak bersatu bgaimana mahu padu? Aku tidak cakap yang kita perlu lupakan masalah di Malaysia dan tumpukan pada masalah luar sahaja. Aku cuma tidak setuju bila ada yang tidak mahu ambil tahu tentang perihal mereka di Mesir. Mereka itu saudara kita Amar! Mereka tak minta banyak dari kita, sekadar doa. Tak salah kiranya dalam kita mendoakan Malaysia, kita selitkan juga doa buat Mesir. Amar, Mesir itu tanggungjawab, Malaysia itu amanah. Maaf Amar, jika kau masih mahu teruskan perdebatan yang mana perlu diutamakan antara Mesir dan Malaysia, aku tak berminat. Kerana bagi aku keduanya utama.” Musa menerangkan pendapatnya panjang lebar. Matanya tenang memandang Amar.

  “Baiklah Musa. Maafkan aku.. Aku cuma tertanya-tanya kenapa kau begitu sedih dengan nasib mereka di Mesir? Kesedihan kau ibarat kehilangan ahli keluarga kau sendiri. Penyesalan kau seperti kau ada melakukan kesalahan yang sangat besar. Kenapa Musa?” Amar menyoal dengan lembut. Dia tidak mahu buat Musa semakin sedih.

” Umat Islam ibarat satu jasad. Menyakiti mereka ibarat menyakiti hati sendiri”.

  “Amar, kesedihan aku memang kerana mereka semua itu ibarat keluarga aku sendiri. Penyesalan aku kerana aku tak dapat buat apa-apa bagi membantu mereka. Usaha aku kini hanya mampu berdoa. Kau tahu Amar, syabab-syabab di sana sedang berusaha untuk menegakkan Islam dengan syahid. Tapi aku di sini hanya mampu berdoa buat mereka. Kita berjuang menegakkan Islam hanya dengan menekan papan kekunci untuk berdakwah. Aku rasa aku daie paling manja! “ luah Musa.

  “Musa, keadaan kita di sini dan mereka di sana tidak sama. Sudah jalan perjuangan mereka perlu untuk mereka syahid di medan perang, sedang jalan perjuangan kita cuma menekan papan kekunci atau apa sahaja. Ujian setiap manusia itu berbeza. Mana mungkin kita meminta sesuatu yang sama kerana Allah itu Maha Adil. Surah Al-Baqarah ayat 286: Allah tidak akan menguji seseorang itu di luar kemampuannya. Jika hanya ini kemampuan kita, padanlah jika kita tak diuji seperti mereka”, Amar cuba memujuk keresahan Musa.

  Musa berdiri lalu memandang Amar. “Sebab itulah aku kata aku daie paling manja. Ujian aku disini cuma mengikut kemampuan aku. Aku bukan mahu merungut. Aku terima. Cuma, andai saja aku boleh melakukan sesuatu untuk membantu mereka di sana. Kau tahu, bukan mudah Ikhwanul Muslimin itu mahu berdiri. As-Syahid  Imam Hassan Al-Banna perlu melalui pelbagai rintangan bagi menegakkan Ikhwanul Muslimin. Semasa Ikhwanul Muslimin mahu membina masjid pertama mereka di Ismailiyah, Mesir, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna difitnah dan dituduh pecah amanah. Hampir saja rakyat Mesir hilang kepercayaan kepada beliau. Tapi, atas kuatnya usaha dan kemahuan beliau, Allah membantunya. Ikhwanul Muslimin mampu berdiri gah di tanah Mesir. Tika As-Syahid Imam Hassan Al-Banna masih lagi bergelar pemimpin Ikhwanul Muslimin, ada juga ahli yang mahu merampas kuasa dan memfitnah beliau. Banyak ujian dan dugaan untuk menegakkan Ikhwanul Muslimin sehingga As-Syahid Imam Hassan Al-Banna dibunuh. Sekarang dengan mudah Ikhwanul Muslimin itu mahu dijatuhakan. Tapi aku tetap kagum dengan semangat penyokong Ikhwanul Muslimin kerana walau mereka diserang, mereka tak mudah mengalah. Andai sahaja kita semua punya semangat seperti itu. Kerana itu aku kata aku daie paling manja. Kadang-kadang diuji sedikit aku sudah mahu merungut. Sudah mahu putus asa. Sudah rasa hilang semangat untuk berjuang. Apalah perjuangan aku disini  jika nak dibandingkan dengan perjuangan mereka disana. Dan tak mustahil penderitaan mereka di sana adalah akibat dosa kita disini..”

   Amar tersenyum dan membalas, “Jika kau daie paling manja, habis gelaran apa yang sesuai untuk aku? Yang langsung tak mengambil tahu urusan saudara-saudara di sana. Allah.. Terima kasih Musa kerana menyedarkan aku. Musa, kita mampu membantu mereka dengan berdoa. Gunakan segala kekuatan kita untuk mendapat bantuan Allah. Namun, jangan lupa berdoa kepada Allah untuk membantu kita meraih bantuanNya. Kekuatan kita, hanya dengan mengaku lemah di hadapan Allah. Dengan kelemahan itulah kita akan diberi kekuatan oleh Allah untuk mendapat bantuanNya. Doa itu senjata orang mukmin, Musa. Jika kau kata tak mustahil penderitaan mereka di sana adalah akibat dosa kita di sini, jadi tak mustahil juga doa kita disini mampu meraih bantuan Allah buat mereka disana. Teruskan berdoa, ya.. InsyaAllah, yakin janji Allah.”

  “InsyaAllah Amar, insyaAllah.. Terima kasih sahabat kerana sudi menemani dan melayan aku. Cara dakwah kita dan mereka tak sama. Aku yakin, jika ingin membaiki dunia, kita perlu baiki manusia. Dan untuk baiki manusia, kita perlu baiki hatinya. Untuk membaiki hati,  kita mesti bermula dengan memperbaiki solat. InsyaAllah, jika kita memperbaiki solat dan memperingatkan yang lain untuk turut memperbaiki solat, pasti segala punca dapat dikenal pasti. Cabarannya sekarang ialah berapa ramai anak muda yang meniggalkan solat. Bagaimana mahu memperbaiki sedang mereka sendiri tak menunaikan ibadah tuntutan Ilahi?” soal Musa.

   “ Itulah tugas kita Musa, mengingatkan  yang lain di samping memperbaiki diri sendiri. InsyaAllah, kebenaran yang pahit akan bangkit, kerana ramai yang menyedari diri semakin sakit. Sama-sama kita doakan ya, sahabat.” Kata Amar dengan penuh yakin.
“InsyaAllah. Amar, malam ini akan diadakan solat hajat perdana di Pusat Islam bagi mendoakan Mesir. Kau mahu pergi sama?” Musa menyoal dengan penuh hikmah. Moga Amar mahu ikut serta.

   “Boleh, insyaAllah.. Kita pergi bersama ya..” balas Amar dalam senyuman.
Perbualan ditamatkan setelah hujan berhenti. Urusan masing-masing diteruskan di samping ada sesuatu yang tersemat dalam hati mereka kesan perbualan tadi. Sudah terpasak dalam hati mereka kata-kata 

         “Aku bukan daie yang manja! “

p/s: sekadar rekaan.  Moga penulisan ini mendapat redha Allah.

M & M


15 Ogos 2013. 8 Syawal.

   Hari ini berita keganasan di Mesir meletus lagi. Berita mengenai keganasan ini turut dipaparkan di kaca tv. Tapi, tahap kebenaran yang diceritakan belum tentu benar. Ramai sahabat-sahabat di laman sosial yang mula menyebarkan cerita-cerita mengenai keadaan di Mesir. Mesir kian parah. Beribu-ribu kematian dilaporkan. Belum lagi dikira kematian yang tidak diketahui. Benci sekali mereka kepada penyokong Islam. Benci sekali mereka kepada penegak Islam. Benci sekali mereka kepada perjuangan Islam. Aku terfikir, mereka yang menyokong Morsi itu cuma mengadakan perhimpunan. Sebelum ini tiada berita mengenai  berlaku kerosakan mahupun keganasa n yang mereka lakukan. Jadi mengapa mereka diserang habis-habisan? 

  Juga dikhabarkan semua hospital di Rabaah telah dirampas oleh mereka-mereka laknatullah. Pegawai perubatan dihalau keluar dari hospital dengan tujuan mahu menyembunyikan jumlah sebenar kematian para syuhada daripada pengetahuan umum. Allah.. Terlalu benci mereka kepada Islam. Jurugambar juga hampir 200 orang yang telah dibunuh. Ini kerana setiap gambar yang diambil sepanjang kejadian itu bukti. Sekeping gambar boleh menimbulkan seribu satu persoalan.
    
   Terlalu ramai syahid dan syahidah yang sudah menempah tempat di Syurga kelak. Bidadari-bidadari di Syurga sudah menunggu para syuhada yang syahid untuk melamar mereka.  Sudah tiba masa rehat bagi mereka yang sudah penat berjuang. Rehat pejuang itu adalah mati. Moga Allah merahmati mereka. Moga Allah merahmati dan melindungi Mesir. Sama-sama kita mendoakan Mesir.
     
   Dalam sibuk berdoa buat Mesir, jangan dilupa doa buat Malaysia ya. Tika Mesir kian parah, Malaysia kian rebah. Rebah dek masalah sosial yang tak berkurang. Rebah dek masalah kemiskinan yang tak dipandang.Rebah dek masalah pendatang yang menumpang.  Rebah dek masalah politik yang telah lama bersarang.
    
   Bulan Syawal ini mengajar aku satu perkara besar. Ziarah menziarahi itu kadangkala mengajar kita sesuatu. 2 Syawal lalu keluarga besar di kampung mengadakan satu majlis rumah terbuka untuk keluarga terdekat. Dalam kesibukan yang lain meraikan majlis, aku terpandang seorang kanak-kanak kecil. Masih sangat kecil. Belum sampai setahun aku kira. Pelik kerana aku tak tahu andai ada saudara mara yang mengandung sebelum ini. Aku tanyakan pada emak. Emak kata itu anak salah seorang saudara yang umurnya sebaya aku. Mulanya rasa sedikit bangga kerana sangka mungkin dia berkahwin awal atas sebab sudah jodoh. Tapi emak dalam keberatan memberitahu keadaan sebenar ketika pulang.

“Memang kahwin, tapi lepas anak lahir..” kata emak.

Ayah pulak menambah “Ayah tak nak anak-anak ayah macam tu ya. Jaga diri. Ambik pengajaran..”

   Allahurabbi.. Tersentak. Sebelum ini aku hanya mendengar kisah ini berlaku pada orang yang jauh dari aku. Kisah seperti  ini aku dengar cuma di kaca tv, di dalam akhbar. Tapi kini sudah berlaku di depan mata. Berlaku kepada insan yang boleh aku kata saudara seIslam meski bukan saudara rapat. Allah.. Besar pengajaran Allah beri.
    
   Di samping berdoa buat keamanan Mesir, jangan lupa Malaysia juga hampir parah.  Walaupun kisah anak luar nikah ini kurang diceritakan lagi dalam akhbar dan kaca tv namun masalah ini langsung tidak berkurang. Malah boleh jadi semakin meningkat. Kadang-kadang tanpa sedar kita terlupa akan masalah disekeliling kita. Kita terlalu memandang masalah diluar sampai masalah didalam dibiar berkulat tanpa ada yang mahu mengubati. Lambakan hotel-hotel murah di Malaysia menjadi ibarat baja yang menyuburkan lagi permasalahan ini. Kita kata sudah cukup memerangi tapi kita belum membanteras dari dasar. Selagi perkara dasar belum dilupuskan, mana bisa perkara permukaan itu diselesaikan.
  
  Itu baru masalah ketelanjuran pemuda-pemudi. Belum lagi dilihat masalah tembak-menembak yang menggemparkan Malaysia sendiri. Sedangkan yang lakukan masalah ini adalah rakyatnya. Begitu mudah dalam menyelesaikan masalah. Menembak sahaja mereka yang mencari pasal. Mereka kononnya dengan penuh keberanian melakukan hal ini ibarat Malaysia ini tak punya  undang-undang lagi. Oh Malaysia… Rakyatmu sendiri sudah tidak takut akan undang-undang yang kau sendiri tegakkan.. 

  Mungkinkah permasalahan ini dapat dikurangkan jika hukum Islam ditegakkan? Oh! Jangan bercakap tentang hukum Islam di Malaysia! Mereka langsung tidak mahu menerima sedangkan mereka sendiri yang tidak mahu mengkaji. Allah..
  
  Jangan dilupa tentang permasalahan fahaman Syiah yang semakin berleluasa. Di Mesir juga di Malaysia. Kedua-duanya mengalami masalah ini. Syiah ini sudah lama, tapi kini semakin aktif nampaknya. Kenapa? Mungkin kerana umat Islam semakin rebah jadi ia kembali aktif? Atau mungkin dari dulu ia sudah aktif cuma kita yang buat tak tahu barangkali. Kini bila sudah mula merebak, kita mula mahu mencari ubat bagi menyembuhkan, sedangkan puncanya kita lupakan.

  Tika syabab-syabab di Mesir syahid di medan menegakkan Islam, syabab-syabab di Malaysia masih leka dengan masalah hati. Masih leka dengan masalah percintaan yang tak selesai-selesai. Masih membuang masa kepada perkara-perkara yang langsung tidak  memberi faedah kepada agama. Aku yakin jika ditanya kepada syabab-syabab Malaysia mengenai syabab-syabab Mesir, pasti ada yang langsung tidak mengetahui nasib saudara kita di sana. Betapa kita lalai..
    
  Tika muslimah-muslimah Mesir sibuk memperjuangkan kemenangan Islam, muslimah-muslimah Malaysia masih leka dengan masalah naik turun berat badan. Muslimah-muslimah Malaysia masih kusut memikirkan kecantikan wajah dan baju-baju yang menarik. Allah.. Betapa kita alpa…
   
  Mungkin ada yang akan kata, 
“awak.. Masalah kita di Malaysia dan mereka di Mesir tak sama. Ujian kita dan mereka tak sama..”..

Awak,, ya masalah kita dan mereka tak sama. Keadaan kita di sini dan mereka di sana tak serupa. Tapi awak,, adakah kita sudahmenjalankan tanggungjawab kita disini? Adakah kita sudah mengetahui keadaan sebenar kita disini? Adakan kita sudah faham perjuangan sebenar kita disini? Awak, masih banyak yang kita perlu tahu. Bukan sekadar membandingkan situasi sahaja.

Awak, Mesir itu tangunggjawab, Malaysia itu amanah.

Tanggungjawab perlu dilakukan, amanah perlu dilaksanakan. Doakan keduanya.

Kata sahabat, “Ayuh tembak doa buat mereka disana”.
Jangan lupa letupkan doa buat kita disini juga ya!

“ Wahai kaumku! (yang masih kafir), buatlah sepenuh kemampuanmu (untuk menentang Islam), sesungguhnya aku tetap akan berbuat (berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Islam). Kelak kamu akan mengetahui siapakah (di antara kita) yang akan memperolehi hasil yang baik dari dunia ini! Sesungguhnya tidak akan Berjaya orang yang zalim” Surah Al-An’am(135)


     

p/s: sudah lama ditulis. Baru berkesempatan untuk di'publish'.

Saturday, 24 August 2013

Masih mahu lemah?

Tika aku mengatakan kegagalan dalam exam itu melemahkan semangat, ALLAH datangkan satu lagi perkara yang lebih terkesan. ALLAH seperti mahu mengajar. Dengan hadirnya perkara lebih penting ini, adakah engkau masih mahu lemah dengan hal yang tak seberapa? Allah...
Allah itu Maha Penyembuh. Moga DIA menyembuhkan yang sakit. Menguatkan yang lemah. Buat yang membaca, DOAKAN~~

:'(

Saturday, 10 August 2013

tiada tajuk 8.

  Solehah merenung sendirian ke luar tingkap. Angin malam yang bertiup menghembus lembut wajahnya. Terasa segar. Pemandangan bulan penuh di langit membuat dia terus mendongak mahu menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi. Tika sendirian ini mindanya jauh berlayar mengingati zaman lampau. Solehah mula teringat kisah-kisah dulu di kala usianya masih muda. Bukan bermaksud kini sudah tua, cuma kisah dia semasa baru menginjak ke zaman remaja dahulu terlalu berbeza dengan kisah Solehah sekarang.Perlahan-lahan memori dahulu kembali membuka segala kisah silam.

FLASHBACK~~

  Menginjak usia 13 tahun, ayah Solehah menyarankan dia untuk terus bertudung litup. Arahan itu diterima tepat pada hari Raya pertama tika itu. "Ayah nak lepas ni bila nak jejak saja kaki ke luar rumah, tudung mesti kena sarung. Anak-anak ayah dah besar, kena pandai jaga diri. Ingat.." itu pesan ayah pada Solehah dan kakak. Solehah agak lambat bertudung berbanding kakaknya yang dah bertudung sejak dari tadika lagi. Solehah cuma mula bertudung ketika usianya 10 tahun. Itu pun hanya ke sekolah. Di rumah mahupun di luar, rambutnya masih ditayang. Agak bangga kerana Solehah punya rambut yang cantik jadi dia tidak malu jia tidak pakai tudung. Ada saja yang akan memuji rambutnya. Cuma ada suatu perkara yang membuatkan Solehah terasa mahu bertudung litup pada ketika usianya 10 tahun itu.


   Suatu hari mereka sekeluarga bersama saudara yang lain pergi menghantar salah seorang ibu saudaranya yang baru saja diterima ke sebuah universiti. Dalam perjalanan pulang, mereka singgah ke masjid untuk solat. Tiba-tiba ibu saudaranya bersuara, " Hah tak boleh masuk masjid, sebab Hah tak tutup aurat. Tengok tu papan tanda tu tulis apa.." Solehah mengalih pandangan ke papan tanda yang ditunjuk ibu saudaranya. 


  "ZON MENUTUP AURAT"


 "Patutlah mak long cakap macam tu. Aku tak pakai tudung ni.. malunya.." Solehah monolog sendirian. Sejak itu Solehah mahu bertudung. Budak-budak, bertudung pun niatnya masih belum jelas. Kerana pada masa itu niat Solehah bertudung hanya kerana ingin membolehkan dia masuk masjid pada bila-bila masa. Dia tak perlu rasa tersisih lagi kerana hanya dia belum menutup aurat.


  Bermula umur 13 tahun, Solehah mula bertudung ke mana sahaja. Walau hendak sidai pakaian di luar rumah pun dia bertudung. Tapi pada ketika itu yang difaham cuma bertudung menutup rambut. Bukan menutup aurat. Solehah cuma bersekolah di sekolah menengah biasa yang tinggi jumlah kerosakkan akhlak pelajarnya.Walaupun keputusan UPSR nya cemerlang, namun dia tidak mendapat tawaran dari mana-mana sekolah cemerlang. Jadi dia hanya mneruskan pelajaran di sekolah tersebut kerana paling dekat dengan rumahnya. Di usia 13 dan 14 tahun, Solehah boleh dikata jahil ilmu agama. Dia solat, tapi belum faham apa tujuan solat. Dia bertudung tapi belum betul menutup aurat. Bab ikhtilat lagilah fail! Solehah tika ini cuma fikirkan dunia tanpa ada sekelumit ingatan tentang akhirat.Tapi Solehah skor dalam matapelajaran agama. Walau hakikatnya  dia jahil, tapi dikira paling alim di sekolah itu. Solehah dikenali ustaz, ustazah. Namanya menjadi sebutan para guru. Itu membuatkan Solehah terus merasa dirinya sudah cukup ilmu. Pada usia remaja sebegini, Solehah sudah menyimpan minat pada si lelaki. Bukan seorang, tetapi ramai. Masih Solehah ingat yang dia punya satu diari ketika itu. Dan dalam diari itu dia akan tulis apa sahaja yang lelaki yang dia minati lakukan. Perasaan bangga dan gembira teramat akan wujud bila dia berkesempatan bercakap dan bersembang dengan lelaki yang dia minati. Even lelaki itu cuma memanggil namanya saja, Solehah berasa dunianya di awang-awangan.Walaupun begitu, di usia 13 dan 14 tahun, dia masih bisa mengawal diri kerana belum terjebak dalam gejala 'couple'. Ramai sahaja rakan-rakan yang sudah berpasangan. Solehah masih memendam rasa. 


   Menginjak ke usia 15 tahun, Solehah nekad mahu mencuba sesuatu yang baru. Di kelilingi dengan rakan-rakan yang sudah punya pasangan membuat Solehah turut mahu mencuba dan akhirnya dia terjebak. Bermula dengan hubungan kawan baik dengan seorang pelajar yang baru berpindah ke sekolahnya akhirnya membuahkan rasa cinta. Opsss!!! Bukan cinta tapi cuma suka. Hakikatnya Solehah bukanlah terlalu suka kepada si lelaki, cuma rasa ingin berpasangan membuat dia dengan mudah menerima ajakan. Dan akhirnya rasa bangga mengusai diri kerana sudah punya teman lelaki. Mulalah dia bercerita itu dan ini kepada rakan-rakan mengenai kisah 'couple'nya itu.Jika dulu, dia hanya menjadi pendengar, kini dia antara si penyumbang suara.


  Hubungan cinta monyet itu berterusan dan banyak perkara melalaikan mula Solehah lakukan. Pagi petang siang malam kerjanya hanya bermesej dengan si lelaki. Solehah sudah punya 'handphone' di usia 12 tahun lagi kerana hadiah dari ayah atas keputusan UPSR nya yang cemerlang. Mungkin hadiah itu tak sesuai sebenarnya. Setiap masa kerjanya cuma mesej dan mula leka dengan diulit kata-kata manis dari si lelaki. Fikirannya asyik dilayan rasa suka diberi perhatian oleh si buah hati. Hal kredit telefon langsung Solehah tak risau kerana si lelaki yang akan 'topup'kan. Beruntung punya pasangan orang berada. Itu lagi menjauhkan Solehah dari jalan kebenaran dan terus menyesatkannya dengan keseronokan dunia. Dunia 'couple'nya itu menyebabkan dia mengabaikan pelajaran. Sedangkan tahun itu dia akan menghadapi PMR. Tapi Solehah bijak menyembunyikan, kisah percintaan monyet itu langsung tak dapat dihidu ibu ayah. 


   'Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga'.


    Akhirnya kisah 'couple' Solehah diketahui oleh ibunya. Bagaimana???


   Hari itu semua pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 ada program Qiamullail di sekolah. Dan Solehah wajib menyertai. Ketika menghadiri program yang memerlukan dia untuk tidur disekolah selama 2 hari, handphone nya ditinggal di rumah. Tika itulah segalanya terbongkar. Usai program Qiamullail, Solehah pelik mengapa ibunya tiba-tiba senyap dan tidak mahu bercakap dengannya. Tiba di rumah barulah ibunya menegur dan menceritakan semua. Saat itu Solehah rasa malu. Tapi entah kenapa, rasanya hati Solehah sudah dikeraskan dan dibutakan dengan rasa seronok dunia maka dia abaikan teguran si ibu. Hubungan dengan lelaki masih diteruskan. Hinggalah tiba saat genting peperiksaan semakin hampir, ibunya merampas handphonenya buat seketika sehingga peperiksaan tamat. Bukan main marah Solehah atas kejadian itu. Kata-kata ayah dan ibu semua dilawan. Aduhh.. Panahan cinta kah yang membuatkan Solehah melawan semua kata-kata orang tuanya? Bukan panahan cinta, tapi panahan syaitan.


   Tapi selepas tamat pepepriksaan, hubungan cinta mati tadi itu putus. Entah kenapa Solehah rasa hatinya sudah tiada minat. Dan atas sebab perkara itu, keputusan PMR Solehah tidak begitu cemerlang berbanding rakan-rakannya yang lain.Dan Solehah tetap meneruskan persekolahan di sekolah yang sama untuk Tingkatan 4 dan 5. Di tingkatan 5, Solehah sebenarnya masih terjebak dalam dunia 'couple'. Cuma pasangannya kali ini dikenali menerusi laman sosial dan tidak pernah berjumpa. Solehah bukan berani sangat mahu berjumpa dengan orang yang tak dikenali. Dia cuma mahu suka-suka. Mahu punya tempat untuk mengadu segala rasa. Mahu dipujuk bagai anak kecil oleh si dia. Kerana tika itu Solehah belum berjumpa dengan kekasih hati yang sebenar iaitu Si Pencipta. 



                                                    sambung....


                                 

Friday, 9 August 2013

Mungkin tiada tajuk 7.

Sebelum entri ditulis, nafas ditarik sedalam-dalamnya. Bermula dengan lafaz Bismillah, bait-bait kata ditaip.

   Hari ini Hari Raya. Aku bukan nak menyanyi. Masih lagi mahu mencoret disini.Hari Raya dirasa agak kosong kali ini. Bukan bermaksud tak menghargai mahupun tidak bermakna langsung. Cuma ade perkara yang mengundang gundah di hari raya. Allah.. Mulut yang menguntum senyuman belum tentu hati turut tersenyum. Bukan nak kata yang lain tak memahami, tapi aku yang pilih untuk simpan sendiri.

    Jujur,seminggu sebelum hari ini, ada satu berita yang aku dan mereka-mereka terima.Namun, berita aku tak seindah berita mereka. Mungkin berita paling teruk. Kegagalan yang diterima bagai satu hentakan kuat. Sakit.. Sangat.. Tak mudah nak menerima. terlalu tersentak dengan hentakan kuat itu. Allah hentak kuat-kuat supaya aku sedar betul-betul.Mudah mulut menuturkan. Hakikatnya betapa susah diri nak menerima. Allah..
'Kenapa aku yang dihentak?'
 Layakkah aku bertanya soalan itu???

Saat itu, aku rasa nak menangis, tapi tak boleh. Tak ada air mata yang sudi nak mengalir. Aku rasa macam nak telefon mana-mana 'akhawat' untuk mengadu nasib diri. Nak menangis kuat-kuat, nak cerita rasa hati saat itu. Tapi aku tak buat. Aku rasa nak menangis sorang-sorang, tapi tak berkesempatan. Sebab apa? Sebab masa tu, aku kat rumah. Maaf, air mata tak diizin mengalir ketika di rumah. Ego? Mungkin, aku pun tak pasti. Tapi satu yang aku pasti, aku tak mahu kelihatan lemah. Tak mahu kelihatan lemah di hadapan keluarga. Aku menangis, tapi bukan depan mak ayah. Aku menangis tapi bukan depan kakak adik. Yang pasti bukan dirumah. Saat itu, Allah saja yang tahu. Betapa hati, fikiran tak tenteram. Jiwa resah tak menentu. Takut! itu yang pasti! Betapa aku takut nak menghadapi hari berikutnya. Betapa aku takut memikirkan masa hadapan. Adakah berita ini bakal menghancurkan segalanya? Allah.. buntu dan tak menentu. Itu yang aku rasa. Bila aku tak bisa menangis pada manusia, bila aku tak bisa menangis di hadapan keluarga, maka aku menagis pada si Dia.. Berharap Dia mampu menenangkan. Berharap dia mampu mengubati segala kesakitan. Lumrah manusia, bila dah terkena, baru cari Dia. Ibarat Dia itu hanya ada ketika susah dan payah.. Allah.. Dia itu Allah.. Aku menangis pada Allah.. Aku mohon Dia beri kekuatan.Segala rasa nak menangis, segala rasa takut, aku serah pada Dia semuanya.

   Tika aku sangat lemah itu, aku berdoa moga Dia beri aku kata-kata bagi menguatkan. Jadi aku selak Al-Quran. Baca, baca dan baca. Dalam masa yang sama, setiap maksud aku telusuri. Entah mengapa, aku tak jumpa apa yang aku cari. Aku mengharapkan ada satu ayat yang maksudnya bisa mengubat hati. Tapi terasa seperti tiada. Entah mengapa! Sedangkan aku tahu, semua ayat Al-Quran itu menyembuhkan. Mengapa hati aku mencari ayat yang lain? Mengapa aku merasa tiada ayat yang bisa menyedapkan hati aku? ahh sudah!! Aku keliru! Sangat keliru dengan rasa hati saat itu. Mahu menangis lagi? Ya! Pasti!Tapi air mata masih belum bisa mengalir lagi.Allah... Hanya itu mampu aku ucap.

  Aku sebenarnya keliru dengan apa yang patut aku rasa. Aku perlu sedih sesdihnya atau perlu buat tak kisah setak kisahnya? Aku perlu sedih, meratap, meraung dan berasa seperti hidup sudah berakhir atau perlu berasa seperti tiada apa-apa yang berlaku dan teruskan hidup seperti biasa dengan tak memperdulikan segala kegagalan.. Aku masih tak tahu apa yang patut aku rasa..

   Dalam kekekliruan, ada fikiran-fkiran jahat yang menyinggah. Terfikir, dulu sebelum aku rapat dengan Dia, aku tak pernah rasa gagal macam ni. Dulu sebelum aku rapat dengan Dia, aku tak pernah rasa hidup ni susah macam ni. Dulu sebelum aku rapat dengan Dia, hidup aku semua mudah saja.Kenapa bila aku mula nak kenal Dia, macam-macam yang aku rasa? Kenapa semakin aku nak rapat dengan Dia, macam-macam kegagalan yang aku dah rasa? Kenapa bila aku mula cinta Dia, lebih banyak duka daripada gembira? Aku tak layak bertanya semua ini..

    Pada masa-masa macam ni, masih ada sahabat-sahabat bertanya keadaan diri, memberikan kata-kata. Terima kasih. Terima kasih sangat-sangat. Aku sangat menghargai. Aku cakap aku 'ok' pada mereka, hakikatnya... Tersenyum sendri. Ok kah aku?

   Bila ditimpa masalah mulalah terasa macam-macam. Pernah aku terasa mahu kembali seperti dulu. Allahurabbi.. Kembali tika moment-moment kejahilan.. Tapi aku cuma terasa. Itu satu jalan yang pasti takkan aku pilih. Bukan mahu kata sekarang aku sudah tidak jahil, sudah cukup ilmu atau sudah banyak pahala yang dikumpul. Tapi aku kini dalam proses memperbaiki diri. Bukan masih dalam status tak memperduli keadaan rohani dalam diri.

  Jadi, aku sudah nampak apa yang patut aku rasa sebenarnya. Aku perlu sedih tapi bukan sampai putus asa. Aku perlu buat tak kisah, tapi bukan sampai tak memperduli. Sedih atas kegagalan, itu rasa buat manusia biasa. Agar aku lebih berusaha. Tak kisah atas kegagalan, itu rasa manusia biasa. Agar lebih positif dalam berusaha. Tak putus asa dan positif. Itu yang perlu.

  Teringat, dulu aku lulus cemerlang dalam akedemik, tapi bab tutup aurat, aku fail. Dulu aku lulus cemerlang dalam akedemik, tapi bab ikhtilat, aku fail. Sepatutnya dulu aku lagi sedih dari sekarang. Bukan sekarang sedih lebih-lebih dari dulu. Dan takkan mudah aku nak kembali semula macam dulu setelah banyak yang aku tempuh. Dulu, aku tak faham, sekarang aku dah belajar untuk faham, macam mana boleh aku nak kembali kepada keadaan yang aku tak faham sedangkan aku mula untuk faham? Moga Allah jauhkan aku daripada kembali kepada dulu.

  Aku tak pernah menyesal dengan kesalahan lalu. Sebab semua itu mengajar aku bahawa itu semua salah. Kesalahan dulu membentuk aku untuk belajar perkara yang betul. Jujur, aku langsung tak menyesal sebab kalau tak salah, macam mana nak belajar yang betul..

   Dan aku tak menyesal dengan jalan yang aku pilih sekarang. Jalan apa? Jalan yang lebih baik barangkali. Allah saja yang tahu. Semakin aku mahu mendalami jalan ini, semakin aku terima banyak halangan. Dari segi pakaian, dari segi labuhnya tudung, dari segi pergaulan. Dulu aku pernah rasa perempuan pakai tudung labuh ni otaknya sempit. Mungkin sekarang orang lain rasa perkara yang sama pada aku. Tapi tak tahu kenapa, semakin banyak halangan, semakin aku tak nak tinggalkan jalan ini. Aku tak pernah terfikir langsung akan berada di tahap sekarang. Langsung tak pernah. Mungkin bagi sesetengah orang, tahap aku tahap paling rendah. Dan tahap paling rendah inilah yang tak pernah aku terfikir aku akan berada sekarang.

   Dalam setiap perjalanan sukar, ada sesuatu yang Allah kirimkan. Sahabat yang baik yang sentiasa menguatkan. Kata-kata nasihat yang memberangsangkan. Ibu Ayah yang setia menjadi peneman.

   Aku sebenarnya keliru kegagalan ini ujian atau balasan. Kerana aku merasa aku langsung tak layak diuji oleh Tuhan. Aku terlalu hina hingga merasa ujian Allah itu terlalu mulia buat manusia seperti aku.Aku tak layak diuji.Aku pandang tinggi ujian Allah. Jadi aku mahu menganggap ini sebagai balasan. Balasan kerana tidak bersungguh-sungguh. Balasan kerana membawa fitnah kepada Islam. Balasan kerana aku masih belum belajar mahu mnjadi Mukmin.

   Dalam berusaha sendirian untuk menguatkan kembali diri yang terhentak kuat, Allah masih kirimkan sesuatu buat diri. Bahan bacaan yang memberi manfaat, sedikit sebanyak membantu semangat perjuangan.Allah masih beri peluang untuk aku menilai diri.Salah satu buku yang aku beli, pertama kali aku selak helaiannya, tertulis satu tajuk 'Jangan berdukacita jika gagal, kerana anda masih punya nikmat yang lain'. Baiknya Allah.. Dia pujuk aku perlhan-lahan.. Dia tak bagi kata-kata terus, tapi Dia mahu aku mencari. Sedikit cuma yang Dia ambil, tapi terlalu banyak yang Dia beri. Dia tarik kegembiraan dengan kegagalan. Tapi dia beri banyak.. Dia beri pemahaman dalam memperbaiki diri, Dia beri kesedaran. Dia beri aku kefahaman tentang aurat, ikhtilat dan urusan akhirat agar aku tak lebih sedih dari dulu. Dia beri keluarga lengkap buat aku. Dia beri kesihatan ibu ayah buat semangat aku. Dia beri aku Islam.Dia tunjuk aku jalan perjuangan.  Allah.. Terlalu banyak yang Dia dah beri dan bila Dia ambil sikit, aku mula nak melatah, meraung??? Allahurabbi.. Tak bersyukurnya aku..

   Aku baru gagal urusan dunia. Dah sedih macam ni. Nanti kalau gagal urusan akhirat macam mana? Allah.. Tak nak! Aku mahu lulus dunia akhirat. Aku tak harap ini sekadar kata-kata. Allah beri aku peluang dengan meletakkan diri dalam jalan perjuangan. Moga aku tak sia-siakan. Allah beri aku sediit pemahaman, moga aku tak sia-siakan.

   MAsih terlalu banyak perlu aku perbaiki. Terlalu banyak. Sangat banyak. Merasa tak layak untuk aku meminta lagi. Kerana aku manusia hina. Terlalu hina. Aku sedar, tak sepatutnya aku bersedih dengan sedikit kegagalan. Sudah dikata jalan perjuangan bukan mudah tapi tak susah.Kekadang aku cemburu melihat yang lain urusannya lancar sekali. Apa yang dipinta semua diberi. Aku mula mahu mengadili. Sedangkan yang paling adil itu Allah. Dia lebih tahu. Mungkin kelancaran urusan itulah ujian buat mereka. Itu lebih payah. Kerana takut dek kerana terlalu mudah perjuangan, mereka tak sedar mereka diuji. Aku bersyukur jalan aku tak mudah kerana aku sedar jalan perjuangan itu penuh dugaan.

   Aku sering berdoa moga segala urusan dipermudahkan sedangkan aku tahu jika mahu Syurga mana mungkin jalan itu mudah. Jadi aku terus berdoa moga dikuatkan. Dikuatan dalam menghadapi segala urusan dakwah yang pasti susah tapi Syurga ganjarannya.


Aku tidak mahu menjadi golongan yang sudah diberi peringatan tapi masih lalai dan saat diberi kesenangan mula melupakan segala peringatan. Tika mula lalai dengan kesenangan, Allah balas dengan seksaan. Allahurabbi..

"Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka. Kami pun membuka semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka. Sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka secara tiba-tiba, maka ketika itu mereka terdiam dan berputus asa"
Surah Al-An'am:ayat 44


  Aku sudah pilih jalan ini. Maka segala yang datang harus aku hadapi.



10 wasiat As-Syahid Imam Hassan Al-Banna:


  1. Apabila mendengar azan, bangunlah sembahyang serta-merta walau bagaimana keadaan sekalipun.
  2. Bacalah al-quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu dan amalkanlah zikrullah dan jangan lah membuang masa dengan perkara yang tidak memberi faedah.
  3. Berusahalah bertutur dalam Bahasa Arab Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam.
  4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tidak memberi apa-apa kebaikan.
  5. Jangan lah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang dan tenteram.
  6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
  7. Jangan lah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana pencakapan yang nyaring itu adalah satu prbuatan yang sia-sia malah menyakitkan hati orang.
  8. Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang memberi kebajikan.
  9. Berkenalan dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah adalah berkenal-kenalan dan berkasih sayang.
  10. Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebai-baiknya dan ringkaskan perlaksanaannya.





Kenapa aku letak 10 wasiat As-syahid Imam Hassan Al-Banna? Sebab aku mahu 10 sebab ini sentiasa mengingatkan aku. Andai 10 wasiat ini belum mampu aku penuhi bagaimana bisa aku kata aku pejuang? Andai 10 wasiat ini belum mampu aku amalkan bagaimana bisa aku kata aku sayangkan Islam? Jika 10 wasiat ini belum mampu aku hidupkan, bagaimana bisa aku kata aku ini Mukmin sejati? Bagaimana bisa aku mahu berjuang untuk Islam sedangkan nilai Islam itu sendiri tidak aku amalkan? Allah... Moga otak memproses segala rasa hati dan diteruskan dengan tindakan.






p/s: ini mungkin rekaan, mungkin juga kenyataan. Moga Allah redha atas penulisan ini.

biar dikata apa, aku masih mahu seperti ini.


 

   

Sahabiah: